
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Ismail Salleh, memperincikan apa diperkatakan Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 4 Feb, merujuk satu daripada tiga komponen naik taraf infrastruktur pembangunan dan penyelenggaraan 100 blok sistem pengairan.
Katanya, selain itu ia turut melibatkan projek pemulihan menyeluruh Empangan Pedu bernilai RM1 bilion, serta pembangunan dan penyelenggaraan skim pemindahan sumber air Jeniang fasa dua.
“Daripada RM5.2 bilion itu akan dilaksanakan fasa pertama dulu melibatkan kos RM1 bilion diumumkan perdana menteri, iaitu pembinaan 15 blok sistem pengairan tertier daripada 100 blok tadi.
“Pembinaan 15 blok tertier fasa pertama ini dijangka siap dalam masa tiga hingga empat tahun dan bakinya pada tahun berikutnya,” katanya kepada FMT.
Pada Selasa, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan Putrajaya meluluskan dana RM1 bilion, dengan projek dijadual dilancar akhir bulan ini.
Ismail berkata, program merancakkan produktiviti pengeluaran padi itu juga akan diuruskan antaranya oleh syarikat milik Syed Mokhtar Shah Syed Nor selepas mendapat projek itu melalui perolehan secara permohonan cadangan (RFP).
Katanya, syarikat dimiliki hartawan itu akan memulakan projek menggunakan dana sendiri dan akan membuat tuntutan kepada kerajaan selepas projek selesai.
“Jadi, dari segi risiko berlaku ketirisan dana juga boleh dielak sebab mereka laksana dulu projek itu kemudian siap baru ‘claim’ dengan kerajaan,” katanya.
Libat urus dengan pesawah
Sementara itu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mahu suara petani dilibatkan dalam projek merancakkan produktiviti pengeluaran padi bagi mengelak ia menjejaskan aktiviti tanaman mereka.
Pengerusi Abdul Rashid Yob turut mencadangkan diwujudkan pasukan pemantau dan audit forensik.
“Kita cadang supaya audit forensik dan satu pasukan pemantau diwujudkan bagi memastikan kelancaran projek ini sebab kita tak mahu sebagaimana projek lepas kerajaan belanja besar, tapi manfaat diperoleh petani tak setimpal.
“Pengalaman kami dalam projek lalu mereka tak ambil pandangan, tak bincang dengan pesawah, jadi kali ini kita minta mereka libatkan kami,” katanya.