
Pengarah Urusan GoThai My Sdn Bhd Mohd Shafiq Johari berkata banyak kemalangan membabitkan kenderaan dari Malaysia di negara jiran itu berlaku pada musim cuti sekolah dan perayaan.
Beliau berkongsi pihaknya pernah menguruskan lapan kemalangan kenderaan dari negara ke Thailand dalam masa sehari dan ada kes rakyat kita terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membayar ganti rugi kepada mangsa kerana tidak mencarum insurans sewajarnya.
“Rakyat kita walaupun dinasihatkan gambil insurans lebih baik tapi ada buat mudah ambil insurans minimum dengan alasan sudah biasa ke sana dan tiada apa akan berlaku.
“Malang tidak berbau, ada kes rakyat kita yang motosikalnya bergesel sedikit dengan motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson, dia akhirnya terpaksa bayar kepada tuan motosikal sebanyak RM3,000.
“Ada kes juga orang kita melanggar mati warganegara Thailand dan oleh kerana dia ambil insurans minimum akhirnya perlu bayar pampasan kira-kira RM70,000 kepada waris si mati,” katanya.
Mohd Shafiq yang berpengalaman selama 20 tahun menawarkan perlindungan takaful dan insurans ke Thailand berkata kebanyakan punca kemalangan disebabkan terlelap seketika ketika memandu atau micro sleep.
Katanya, ini kerana ramai pemandu dari selatan semenanjung termasuk Kuala Lumpur memandu secara terus tanpa rehat hingga ke Thailand.
Menurutnya, apabila sampai di sana badan sudah terlalu letih dan akhirnya berlaku kemalangan selain ada kes meninggal dunia serta perlu rawatan kerana serangan jantung.
“Jika tak kena gaya ambil insurans minimum, perlu keluar duit sendiri bayar bil hospital, ada juga kes pelanggan kemalangan di kawasan terpencil dan tiada penduduk beragama Islam, jadi hospital tidak menawarkan makanan halal,” katanya.
Mohd Shafiq berkata persediaan lain perlu dilakukan termasuk memahami budaya dan undang-undang jalan raya di Thailand yang berbeza bagi mengelakkan kemalangan.