
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata kutipan berkenaan merekodkan hasil RM203,400 pada 2023, meningkat kepada RM1.16 juta pada 2024, dengan melonjak ketara kepada RM4.22 juta tahun lalu.
Katanya, ketiadaan permit peredaran antarabangsa (ICP), pemanduan tanpa lesen memandu kompeten (CDL) serta kegagalan mempamerkan ICP mengikut ketetapan dikenal pasti sebagai tiga kesalahan utama kerap dilakukan pemandu van warga Thailand beroperasi di negara ini.
Beliau berkata, kesalahan itu dikesan menerusi pelaksanaan Ops Tunggak Kenderaan Thailand yang dijalankan secara berterusan sejak 2023, khususnya di negeri sempadan.
“Jumlah kutipan ini mencerminkan keberkesanan strategi penguatkuasaan bersepadu, selain menunjukkan tahap pematuhan yang semakin meningkat dalam kalangan pemilik dan pemandu kenderaan asing,” katanya menurut Bernama pada sidang media, di Kota Bharu.
Kifli berkata, sehingga kini kira-kira 1,000 kenderaan berdaftar Thailand yang merentasi empat negeri sempadan masih berada dalam pemantauan JPJ.
Beliau berkata, sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, jabatan itu merekodkan 11,946 kes membabitkan kenderaan tanpa ICP, pemandu tanpa CDL (3,585 kes) serta 5,573 kes kegagalan mempamerkan ICP mengikut kehendak ditetapkan.
“Dua negeri dengan jumlah kes tertinggi ialah Kedah dengan 37,527 kes, diikuti Kelantan sebanyak 6,653 kes, selari dengan kedudukan geografi kedua-dua negeri yang berhampiran pintu masuk sempadan negara.”
Mengulas mengenai Ops Luxury, Kifli berkata sejak dilancarkan pada Julai tahun lalu, JPJ telah menyita 1,050 kenderaan mewah pelbagai jenis dianggarkan lebih RM200 juta.
Antara kenderaan mewah yang disita ialah Rolls-Royce, Mercedes-Benz, BYD dan Lamborghini, dengan operasi terbaharu di Karak, Pahang baru-baru ini menyaksikan enam kenderaan bernilai kira-kira RM3 juta disita.
Katanya, tindakan penyitaan terbukti meningkatkan tahap pematuhan pemilik apabila kira-kira 90% daripada mereka melunaskan tunggakan cukai jalan selepas tindakan diambil, sambil menegaskan pemantauan berterusan akan terus dilaksanakan terutama di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.