3 syarikat dilantik tawar khidmat periksa kenderaan bermotor

3 syarikat dilantik tawar khidmat periksa kenderaan bermotor

Menteri pengangkutan berkata, pemilihan Wawasan Bintang, Pakatan Petroleum dan Beriman Gold akan beri pelanggan lebih banyak pilihan.

PUSPAKOM - SHAH ALAM
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, Puspakom akan terus beroperasi seperti biasa, dengan semua cawangannya kekal dibuka.
PUTRAJAYA:
Kerajaan melantik tiga syarikat untuk menjalankan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor, sekali gus menamatkan monopoli Puspakom sejak sekian lama.

Syarikat-syarikat yang dilantik terdiri daripada Wawasan Bintang, Pakatan Petroleum, dan Beriman Gold.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, pemilihan syarikat-syarikat itu mengikut proses penilaian yang ketat dan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 untuk membuka peluang kepada syarikat berkelayakan menjalankan pemeriksaan kenderaan mandatori bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Peluasan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor bertujuan memastikan perkhidmatan dan keselamatan jalan raya yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media hari ini.

Loke berkata, syarikat-syarikat itu dipilih berdasarkan kekukuhan kewangan mereka, pematuhan peraturan kawal selia dan kesesuaian lokasi pusat pemeriksaan yang dicadangkan.

“Wawasan Bintang akan beroperasi di Pelabuhan Klang, Gua Musang dan Mersing, manakala Pakatan Petroleum di Rawang dan Temerloh.

“Beriman Gold ditugaskan di dua lokasi di Sarawak – Kuching dan Serian – untuk meluaskan perkhidmatan ke Malaysia Timur,” katanya.

Beliau berkata, syarikat mesti melengkapkan persediaan prasarana mereka, termasuk premis dan peralatan, dalam tempoh 24 bulan.

“Hanya selepas memenuhi semua piawaian kawal selia dan operasi barulah mereka akan terima lesen untuk memulakan pemeriksaan,” katanya menambah, lesen mungkin dikeluarkan lebih awal jika prasarana siap sebelum tarikh akhir.

Loke juga berkata, Puspakom akan terus beroperasi seperti biasa, dengan semua cawangannya kekal dibuka.

“Puspakom masih beroperasi. Bezanya, kita nak perkenalkan operator baharu supaya ada persaingan,” katanya.

Puspakom ialah syarikat pemeriksaan kenderaan komprehensif nasional yang pertama dan tunggal di Malaysia, dilantik pada 1994 oleh kerajaan untuk menjalankan semua pemeriksaan mandatori bagi kenderaan komersial dan persendirian.

Loke juga mengumumkan, fasa kedua permohonan bagi pengendali pemeriksaan kenderaan bermotor akan dibuka dari Mac hingga Jun.

“Syarikat yang tidak berjaya pada fasa pertama digalakkan memohon semula jika memenuhi piawaian yang diperlukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.