Pesara rugi lebih RM200,000 ditipu scammer menyamar wakil KKM, polis

Pesara rugi lebih RM200,000 ditipu scammer menyamar wakil KKM, polis

Mangsa berusia 58 tahun sebelum itu dihubungi suspek yang menyamar sebagai wakil KKM dan mendakwanya mengambil ubat secara berlebihan pada November lepas.

scammers
Mangsa hanya menyedari ditipu semalam selepas mendapati ada 85 transaksi pemindahan keluar wang daripada akaunnya berjumlah RM229,606.11, kata Ketua Polis Pahang Yahaya Othman.
PETALING JAYA:
Wang simpanan lebih RM220,000 milik seorang pesara lesap selepas dia terpedaya dengan ‘phone scam’ individu yang menyamar sebagai wakil Kementerian Kesihatan (KKM) dan pegawai polis.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata kejadian berlaku selepas mangsa berusia 58 tahun itu dihubungi suspek yang menyamar sebagai wakil KKM dan mendakwanya mengambil ubat secara berlebihan pada November lepas.

Katanya, suspek turut mendakwa bahawa satu siasatan polis akan dilakukan terhadap mangsa sebelum menyambungkan panggilan kepada pegawai polis dikenali sebagai ‘Inspektor Hakim’.

“Mangsa dimaklumkan kononnya dia terlibat dengan dua kegiatan jenayah.

“Suspek kemudiannya meminta mangsa memindahkan semua wang simpanan ke satu akaun bagi tujuan audit dan siasatan. Dia turut mengarahkan mangsa memasukkan kad ATM dalam kotak kecil diletak dalam tong sampah depan kedai serbaneka di Pekan, kononnya akan diambil oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu semalam selepas pergi ke bank dan mendapati ada 85 transaksi pemindahan keluar wang dilakukan daripada akaunnya dengan jumlah
RM229,606.11.

“Orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan sebaik menerima panggilan meragukan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Mereka juga diingatkan sentiasa peka dengan trend penipuan dalam talian berikutan modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih dengan perkembangan teknologi, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.