Jurutera maut terkena bilah kipas helikopter terbakar ketika mendarat

Jurutera maut terkena bilah kipas helikopter terbakar ketika mendarat

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang Zulfadli Zakaria berkata juruterbang helikopter itu terselamat dan tidak cedera.

Keadaan helikopter yang terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak dekat kolam air panas di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong pagi ini. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang jurutera warga Indonesia maut terkena bilah kipas helikopter terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak dekat kolam air panas di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong, Pahang, pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria dipetik Bernama berkata juruterbang itu terselamat dan tidak cedera, tetapi helikopter jenis Bell 206 L4 terbakar dan musnah 100%.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk tindakan lanjut.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Pahang dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan laporan saksi, helikopter itu hilang kawalan dan terbalik ketika melakukan pendaratan untuk mengisi minyak.

“Akibat kejadian itu, seorang lelaki warga Indonesia yang merupakan jurutera meninggal dunia ketika berada di kawasan pendaratan disyaki terkena bilah kipas helikopter.”

Menurutnya, lima anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong tiba di lokasi bersama seunit Fire Rescue Tander pada 10.52 pagi tadi.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan helikopter malang yang disewa dan dikendalikan MHS Aviation Berhad itu sedang menjalankan penerbangan kerja keudaraan.

“Informasi terakhir diterima daripada pihak operator pada 10.18 pagi kepada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur melaporkan helikopter akan mendarat di tapak pendaratan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.