
Sambil menyatakan kebimbangan bahawa kos pemain industri akan dipindahkan kepada pengguna dan memburukkan lagi inflasi, kumpulan itu juga mempersoalkan keperluan untuk menaikkan tarif apabila keuntungan TNB melonjak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia berkata TNB mencatatkan keuntungan bersih RM3.74 bilion dari Januari hingga September 2024, peningkatan 71.2% tahun ke tahun berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, merujuk kepada laporan tahunan TNB untuk 2023, ia berkata pengarah-pengarah firma utiliti itu menerima sekitar RM7 juta pada tahun itu dengan pengarah bukan eksekutif memperoleh sehingga RM20,000 sebulan dalam pelbagai bayaran.
“Kerajaan harus mengarahkan TNB melakukan ‘perkhidmatan negara’ dengan mengurangkan gaji, elaun, dan faedah pihak atasan sebelum menaikkan tarif,” katanya dalam satu kenyataan.
Aliran juga menggesa TNB menyemak semula perjanjiannya dengan pengeluar tenaga bebas untuk mengoptimumkan kos.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua 2025 akan dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan perniagaan tidak terbeban, manakala 85% isi rumah akan terus menerima subsidi.
Beliau berkata tarif tidak akan dinaikkan sehingga 14% dan akan berdasarkan mekanisme pelepasan kos tidak berimbang. Mekanisme itu melaraskan kadar elektrik berdasarkan turun naik kos bahan api sebenar, disemak setiap enam bulan.
Tarif elektrik ditetapkan di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif Suruhanjaya Tenaga, disemak setiap tiga tahun.
Sebelum ini dilaporkan bahawa kerajaan sedang memuktamadkan tarif baharu untuk Semenanjung Malaysia, yang ditetapkan untuk semakan pada Julai.