Kerjasama USANITA-SBS Universiti Oxford sedia platform tingkat potensi

Kerjasama USANITA-SBS Universiti Oxford sedia platform tingkat potensi

Corinne Young berkata SBS dianggap sekolah perniagaan terbaik menawarkan program sarjana pentadbiran perniagaan, pendidikan eksekutif dan kursus dalam pengurusan serta kewangan.

etua Pengarah Eksekutif USANITA Adzliana Hasan
Ketua Pengarah Eksekutif USANITA Adzliana Hasan bertukar-tukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Pengarah Bersekutu Program Pengajian Eksekutif SBS Universiti Oxford, Corinne Young.
PETALING JAYA:
USANITA Sdn Bhd (USANITA) mencipta sejarah apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sekolah Perniagaan Said (SBS), Universiti Oxford bagi menyediakan pendidikan eksekutif bertaraf dunia terutama kepada usahawan dan profesional.

Pengarah Bersekutu Program Pengajian Eksekutif SBS Corinne Young berkata malah Ketua Pengarah Eksekutif USANITA Adzliana Hasan menjadi usahawan wanita pertama dari Malaysia dan Asean yang memeterai kerjasama dengan institusi itu.

Young berkata walaupun SBS dianggap masih muda yang ditubuhan pada 1996, institusi itu dianggap antara sekolah perniagaan terbaik dunia di Universiti Oxford yang menawarkan program sarjana pentadbiran perniagaan, pendidikan eksekutif dan kursus dalam pengurusan serta kewangan.

Katanya, SBS juga teruja bekerjasama dengan USANITA bagi melaksanakan program latihan mampu memberikan kesan positif terhadap pendidikan eksekutif, bukan sahaja di Malaysia tetapi Asean.

“Kami ingin menyediakan peluang kepada usahawan dari Malaysia dan Asean untuk ke Universiti Oxford untuk merasai pengalaman belajar di sini melalui program eksekutif yang ditawarkan.

“Bagi usahawan wanita pula, mereka berpeluang untuk belajar dan memberikan impak positif kepada Malaysia dan tempat kerja masing-masing,” katanya.

MoU tersebut ditandatangani bersama Adzliana di Pusat Pengajian Eksekutif SBS di Egrove Park, Oxford semalam, dan disaksikan Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia di London Mohd Hanafi Ahmad Damanhuri.

Turut hadir, Penasihat Kanan Program Pengajian Eksekutif SBS Hassan Malik, Pengurus Program Pengajian Eksekutif SBS Patricia Alvarez dan Penasihat Program Pengajian Eksekutif SBS Neus Garcia.

Sementara itu, Adzliana berkata pemilihan Universiti Oxford sebagai rakan strategik USANITA adalah kerana sejarah gemilang dan reputasi global universiti berkenaan yang menjadi simbol kecemerlangan dalam aspek pendidikan dan kepimpinan.

“Pencapaian bersejarah ini dicapai melalui program USANITA yang dikenali sebagai ‘Bridge to Brilliance’. Melalui kerjasama ini, pihak USANITA akan membawa kepakaran bertaraf dunia kepada usahawan dan pelajar Malaysia,” katanya.

Menurutnya, kerjasama itu juga selari usaha kerajaan mengukuhkan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan United Kingdom seperti ditekankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika lawatan rasmi ke negara itu, bulan lepas.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir dalam rakaman mesej disiarkan ketika program terbabit berkata rakyat Malaysia berpeluang merasai pengalaman belajar di institusi bertaraf dunia melalui kerjasama terjalin antara USANITA dan Universiti Oxford.

“Kolaborasi sebegini memperkukuhkan lagi dedikasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk memacu kepimpinan di peringkat serantau serta meningkatkan inovasi dan perkongsian ilmu di tahap global,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.