Kastam ‘tentera’ ekonomi, rampasan capai RM1.6 bilion tahun lalu

Kastam ‘tentera’ ekonomi, rampasan capai RM1.6 bilion tahun lalu

Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin berkata nilai rampasan dan cukai tahun lalu melambung 85% berbanding 2023.

rampasan kontena
Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata pihaknya sasar kes berimpak tinggi libat kontena berskala besar bagi melindungi hasil negara.
PETALING JAYA:
Kastam mematahkan 7,215 kes penyeludupan sepanjang tahun lalu dengan nilai rampasan dan cukai RM1.644 bilion meningkat 85.92%, berbanding RM884.27 juta pada 2023.

Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata kejayaan itu sebahagiannya disebabkan perubahan strategi penguatkuasaan dilaksanakan tahun lalu iaitu daripada pendekatan berasaskan output atau bilangan kes kepada ‘outcome’ (nilai dan duti/cukai).

“Tumpuan utama diberikan kepada kes-kes berimpak tinggi, seperti kes melibatkan kontena berskala besar. Pendekatan ini bertujuan memaksimumkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan dan memastikan hasil negara dilindungi dengan lebih menyeluruh,” katanya menurut Bernama ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV.

Beliau berkata, kastam adalah ‘tentera’ ekonomi berperanan penting dalam memacu dasar fiskal negara, selain memastikan pengurusan perdagangan teratur serta membanteras penyeludupan.

“Peruntukan kepada kastam bukan sekadar kos operasi seperti agensi kerajaan lain tetapi merupakan pelaburan strategik untuk memastikan pulangan ekonomi yang tinggi kepada negara dari sudut kutipan hasil dan keberkesanan penguatkuasaan,” katanya.

Terdahulu, semasa menjadi tetamu rancangan itu, Anis berkata pihaknya telah memperoleh 66 unit mesin pengimbas baharu berteknologi tinggi serta dilengkapi sistem kecerdasan buatan (AI) sebagai alat bantuan operasi (ABO) bagi membantu pegawai menjalankan tugas dengan lebih cekap.

“Selain itu, kastam telah membaik pulih dan menyelenggara 30 bot unit marin bagi memerangi jenayah rentas sempadan serta perolehan 20 anjing pengesan dadah jenis Labrador Retriever yang ditempatkan di seluruh negara bagi memastikan pengesanan barang terlarang dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata, jabatan itu juga telah mengambil langkah proaktif dengan menggunakan peruntukan diberikan membaik pulih kuarters uzur melibatkan 124 lokasi perumahan kastam di seluruh negara.

“Selain itu, kastam memberi bantuan kepada 20 unit rumah (keluarga) melibatkan warganya yang menjadi mangsa banjir terutamanya di Kelantan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.