
“Kita akan bincang dalam mesyuarat Kabinet esok,” katanya ringkas kepada pemberita mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar berhubung garis panduan terbabit.
Semalam, Mohd Na’im berkata garis panduan itu masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti termasuk majlis agama Islam negeri-negeri, dan akan diteliti secara komprehensif oleh mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Di bawah peraturan yang dicadangkan, tidak boleh ada ucapan atau lagu dengan ‘propaganda’ atau persembahan keagamaan yang akan menghina orang Islam, manakala premis digunakan tidak boleh memaparkan simbol agama kepercayaan selain Islam.
Na’im juga berkata penganjur perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa berkaitan, serta ‘pandangan’ pihak berkuasa Islam, jika majlis mereka melibatkan orang Islam.
Dalam perkara berasingan, Anwar turut menjawab kebimbangan pemberi maklumat yang dinasihatkan supaya tidak mendedahkan dakwaan salah laku kepada umum, kerana berbuat demikian boleh mengurangkan perlindungan undang-undang.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sedang mengkaji semula perkara itu.
Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata kerajaan tidak bercadang meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk tidak menawarkan perlindungan kepada pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat kepada orang ramai sebelum melaporkan kepada agensi penguatkuasaan.
Menurutnya, pemberi maklumat mesti melaporkan maklumat tersebut kepada agensi penguatkuasaan terlebih dahulu, untuk layak diberi perlindungan.