
GEORGE TOWN: Seorang pelancong asing lelaki berusia 25 tahun cedera selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah di Persiaran Gurney, tengah hari tadi, kata polis.
Ketua Polis Timur Laut Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 1.55 petang.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala masih sedar ketika dibawa ke Hospital Pulau Pinang pada jam 2.20 petang.
“Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, polis tidak mendedahkan warganegara mangsa dan punca kejadian itu.