
Nina Syamimi Syamsuddin dilihat menangis dan terdiam seketika apabila ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mengenai reaksi ibu kanak-kanak itu ketika keterangannya diambil.
Ismanira Abdul Manaf dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, kedua-duanya berusia 30 tahun, didakwa mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, 6, dalam keadaan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Selepas menenangkan diri, Nina berkata beliau merakamkan keterangan Ismanira dalam sebuah kenderaan polis berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, sekitar jam 7 malam pada 5 Dis 2023.
Aqharie: Bagaimana keadaan pengadu ketika rakaman percakapan?
Nina: Dia tidak menjawab beberapa soalan dan kelihatan kosong seperti tiada perasaan.
Terdahulu, Nina, saksi keempat pendakwaan, berkata beliau menghubungi Ismanira melalui telefon dan bertanya mengapa dia mengambil masa lima jam sebelum membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya.
“Dia menjawab bahawa penduduk membantu mencari anaknya dan seorang jiran kemudian menasihatinya untuk membuat laporan polis,” katanya.
Semalam, seorang anggota polis, Koperal Nurul Khairina Zuki, memberitahu mahkamah beliau menerima laporan pertama dari Ismanira yang hadir ke balai polis Sri Damansara pada jam 5.45 petang. Nurul berkata beliau kemudiannya menghubungi Nina untuk memaklumkan laporan itu.
Dalam keterangannya, Nina berkata beliau meminta Ismanira untuk pulang ke rumah kerana polis menerima maklumat daripada seorang penduduk bahawa seorang kanak-kanak ternampak kelibat Zayn Rayyan.
Bagaimanapun, Ismanira berkeras mahu keterangannya direkodkan di IPD Petaling Jaya, tempat Nina bertugas.
“Saya kemudian bercakap dengan suaminya (Zaim) yang meninggikan suara dan menegaskan bahawa keterangan Ismanira perlu dirakam dengan segera,” katanya.
Nina berkata Ismanira mengaku meminta bantuan orang ramai mencari anaknya melalui catatan di Facebook sejurus selepas kehilangan kanak-kanak itu.
Beliau dan seorang lagi saksi, Pegawai Penyiasat Kanan Nor Zaharuddin Sanip, kemudian diminta untuk memberi gambaran mengenai lokasi kejadian.
Aqharie, yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian, memohon kepada mahkamah untuk memanggil semula saksi bagi memberi keterangan lanjut selepas lawatan dilakukan ke lokasi kejadian.
Hakim membenarkan permohonan itu dan mengarahkan lawatan ke tempat kejadian diadakan secepat mungkin bagi mempercepatkan perbicaraan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh ditangguhkan ke esok, dengan tiga saksi baharu dijangka memberikan keterangan.
Peguam iaitu Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh mewakili pasangan suami isteri itu yang dibebaskan dengan jaminan.
Pada 13 Jun 2024, Ismanira dan Zaim mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di PJU Damansara Damai antara tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak, yang boleh didenda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 dan mayatnya ditemui di sungai dekat rumahnya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, keesokannya.
Dia dipercayai dibunuh, selepas bedah siasat mendedahkan kecederaan di leher dan badannya konsisten dengan luka mempertahankan diri.