
Mas Ermieyati berkata, semua pengerusi PAC termasuk dirinya bertindak profesional dalam memastikan kredibiliti dan profesionalisme jawatankuasa itu sentiasa terpelihara serta dihormati.
Katanya, PAC adalah sebuah jawatankuasa bipartisan di mana semua 14 ahlinya tidak bersandarkan kepada pendirian politik dan keputusan memulakan prosiding atau memanggil saksi adalah keputusan konsensus.
“Justeru, saya amat terkejut dan terkilan dengan kenyataan menteri pengangkutan, yang mendakwa beliau dipanggil disebabkan beliau adalah menteri daripada DAP.
“Kenyataan itu tidak tepat sekali memandangkan PAC telah memanggil ramai menteri serta mantan menteri dan langsung tiada kena mengena dengan parti mereka,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, semua menteri-menteri yang hadir di hadapan PAC adalah atas tugas dan tanggungjawab mereka.
Terdahulu, Loke mempersoalkan jika Mas Ermieyati mempunyai motif tersembunyi kerana mencadangkan beliau mungkin dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan kerugian RM500 juta dalam perjanjian penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Loke yang juga setiausaha agung DAP mempersoalkan jika kenyataan Mas Ermieyati bermotifkan politik dan mendakwa ketua Wanita Bersatu itu dilihat cuba mencipta persepsi negatif terhadapnya.
Beliau turut mempersoalkan kenapa Kementerian Pengangkutan dikaitkan dengan isu itu sedangkan transaksi MAHB tiada kaitan dengan kementeriannya memandangkan ia syarikat tersenarai.
Mas Ermieyati berkata, skop prosiding juga tidak terhad kepada pengambilalihan MAHB tetapi turut merangkumi isu kenaikan harga tiket ke Sarawak dan Sabah, isu kelewatan pemasangan aerotrain Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, atas sebab itu tajuk prosiding PAC itu adalah Pengurusan Lapangan Terbang Awam di mana Kementerian Pengangkutan juga adalah pemegang taruh utama dalam pengurusan lapangan terbang awam.
“Terpulang jika Loke tidak mahu memberikan maklum balas bagi menambah baik pengurusan lapangan terbang awam negara dalam untuk dimasukkan dalam laporan PAC.
“Sejarah akan merekodkan bahawa seorang menteri enggan hadir dalam prosiding sedangkan ia demi kebaikan rakyat serta negara,” katanya.
Katanya, PAC mahu memastikan penyata berhubung isu itu adalah sebuah laporan yang komprehensif, tidak berat sebelah dan dokumen yang menjadi rujukan semua pihak demi rakyat dan negara.