Gesa syarikat asing beli 50% barangan tempatan untuk tingkat ekonomi, kata Guan Eng

Gesa syarikat asing beli 50% barangan tempatan untuk tingkat ekonomi, kata Guan Eng

Ahli Parlimen Bagan itu memberi contoh Indonesia dan syarat ditetapkan kepada syarikat asing mendapatkan 70% bahan mereka secara tempatan.

Lim Guan Eng berkata langkah itu boleh membantu PKS yang bergelut menampung peningkatan kos operasi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Lim Guan Eng (PH-Bagan) menggesa kerajaan ‘mendesak’ syarikat asing beroperasi dalam negara membeli 50% barangan keperluan mereka daripada perniagaan tempatan untuk meningkatkan ekonomi domestik.

Bekas menteri kewangan itu memberi contoh Indonesia dan syarat ditetapkan syarikat asing mendapatkan 70% bahan mereka di dalam negara, yang menurutnya telah memberi manfaat besar kepada ekonominya.

“Sesetengah pelabur asing mendapat kontrak daripada sektor swasta dan kerajaan, dan sebahagian daripada pelabur membeli semua barangan keperluan mereka dari negara asal mereka,” katanya semasa membahaskan titah Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Lim berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sudahpun bergelut berikutan pindaan undang-undang baru-baru ini seperti pengurangan waktu bekerja daripada 48 kepada 45 seminggu, peningkatan cuti bersalin dan tujuh hari cuti bersalin untuk lima anak pertama.

Walaupun langkah itu mengutamakan kebajikan pekerja, katanya, ia juga meningkatkan kos operasi untuk PKS.

“PKS berkorban demi pekerja mereka. Saya cadangkan mereka diberi pengecualian cukai sebanyak RM10,000 setahun untuk meringankan beban,” tambah Lim.

Beliau berkata PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi, menyumbang 38% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menyediakan 40% peluang pekerjaan dan menyumbang 13% daripada jumlah eksport.

“Sebarang penurunan dalam perniagaan PKS akan memberi kesan kepada ekonomi,” katanya.

Lim turut mempersoalkan tindakan kerajaan mewajibkan majikan mencarum 2% kepada KWSP untuk pekerja asing, yang katanya membebankan perniagaan tempatan.

Beliau berkata malah Singapura pun tidak mengenakan peraturan serupa, tanpa sebarang kesan daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Mengapa Malaysia mesti mengikut undang-undang antarabangsa yang menjejaskan perniagaan kita?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.