Titah adendum: Dewan Rakyat kecoh dakwaan kerajaan ‘derhaka’

Titah adendum: Dewan Rakyat kecoh dakwaan kerajaan ‘derhaka’

Hamzah Zainudin (PN-Larut) persoal tindakan sembunyi titah adendum merupakan penderhakaan terhadap raja dan negara.

parlimen kecoh
Sidang Dewan Rakyat kecoh hari ini apabila Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin (PN-Larut) membangkitkan isu titah adendum, mendapat bantahan beberapa Ahli Parlimen kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Suasana Dewan Rakyat hari ini sedikit tegang apabila Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin membangkitkan isu titah adendum yang membenarkan Najib Razak menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mempersoalkan sama ada tindakan menyembunyikan kewujudan titah adendum itu merupakan penderhakaan terhadap raja dan negara.

“Kalau ini berlaku, bermakna kerajaan hari ini adalah kerajaan menderhaka kepada titah diraja.

“Setahun dipersoal tidak timbul-timbul sehingga mahkamah mengatakan wujud (titah) adendum,” katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, kenyataan Hamzah itu dibantah beberapa Ahli Parlimen kerajaan, termasuk Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) dan Dr Taufiq Johari (PH-Sungai Petani).

Hassan yang tidak bersetuju dengan kenyataan itu menyifatkannya sebagai ‘terlalu keras dan tidak betul’.

“Kes titah adendum sudah berada di mahkamah. Sampai sekarang (masih) belum selesai,” katanya.

Sementara itu, Taufiq yang meminta Hamzah menarik balik kenyataan itu, bertanya: “Atas dasar apa ketua pembangkang mengatakan Anwar dan kerajaan hari ini derhaka?

“Tidak ada kenyataan daripada Agong mengatakan derhaka,” katanya yang turut memberi kenyataan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pada 2021 mengenai darurat sebagai contoh ‘penderhakaan’ yang menurutnya menyebabkan Agong ‘amat dukacita’.

Susulan itu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan supaya isu titah adendum itu tidak lagi dibahaskan.

“Oleh kerana (Peraturan Mesyuarat) 36 (2) dan dalam mahkamah, perkataan derhaka juga 36 (7), saya tidak benarkan lagi.

“Sesiapa juga yang membahaskan melibatkan itu, saya akan ambil tindakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.