
Khairy, yang ketika itu menteri penyelaras program imunisasi Covid-19 kebangsaan, berkata kerajaan bertanggungjawab menggalakkan vaksinasi dalam kalangan rakyat bagi mengurangkan kesan pandemik.
“Kes ini penting untuk memberi mesej bahawa menyebarkan maklumat palsu semasa krisis kesihatan awam adalah tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata turut memberi contoh teladan dengan menjadi individu pertama di Malaysia menerima vaksin Sinovac untuk memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa vaksin tersebut sama berkesan seperti Pfizer-BioNTech.
Khairy telah memfailkan saman terhadap Mohd Rasyiq Mohd Alwi yang juga dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq pada 2022 berhubung dakwaan beliau ‘menipu’ mengenai status vaksinasinya.
Beliau mendakwa kenyataan Rasyiq itu telah menjejaskan usaha kerajaan membendung penularan Covid-19 dan menuntut ganti rugi daripada penceramah tersebut.
Satu lagi saman yang difailkan Khairy terhadap bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, diselesaikan di luar mahkamah selepas Lokman memohon maaf atas kenyataannya.
Bekas ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, turut memberi keterangan dalam prosiding itu.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa Khairy menerima dua dos vaksin Sinovac dan satu dos penggalak Pfizer pada 2021.
Menurut Noor Hisham, ketika itu terdapat banyak maklumat salah dan kurangnya kepercayaan terhadap vaksin, yang perlu diperbetulkan oleh pihak berkuasa.
Katanya, beliau dan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin mengambil vaksin Pfizer bagi menunjukkan ia selamat untuk semua.
Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.