Pengarah syarikat terpedaya, rugi RM2.1 juta

Pengarah syarikat terpedaya, rugi RM2.1 juta

Lelaki berusia 77 tahun itu tertarik dengan tawaran yang dijumpai di Facebook.

hussein omar khan
Mangsa rasa tertipu selepas diminta untuk bayar ‘cukai’ RM1.2 juta bagi mengeluarkan keuntungan daripada suatu platform, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.
SHAH ALAM:
Seorang pengarah syarikat kerugian RM2.1 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud di platfrom, Digzax Exchanger.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata lelaki berusia 77 tahun itu tertarik dengan tawaran platform berkenaan berhubung pelaburan matawang kripto yang dijumpai menerusi iklan di Facebook pada Ogos tahun lalu.

“Mangsa warga tempatan telah berhubung dengan suspek melalui WhatsApp untuk menyertai pelaburan berkenaan dan telah mendaftar melalui satu pautan di dalam talian.

“Mangsa seterusnya telah membuat 26 transaksi ke dalam 11 akaun berbeza berjumlah RM2,118,810.00 kerana telah dijanjikan keuntungan yang lumayan,” katanya dalam kenyataan.

Hussein berkata selepas pindahan wang dilakukan mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan dan telah diminta suspek untuk membayar cukai berjumlah RM1.2 juta bagi mengeluarkan keuntungan daripada platform tersebut.

“Oleh itu mangsa berasa tertipu dan tampil membuat laporan polis di daerah Kajang,” katanya.

Hussein dalam kenyataan sama menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tawaran pelaburan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah, khususnya menerusi aplikasi telefon bimbit yang tidak diluluskan oleh Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.