
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya dan Chin Yee Mun dari Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) berkata, mengekalkan Anwar dan Timbalannya, Rafizi Ramli dengan jawatan parti masing-masing dapat mengelakkan perpecahan dalam PKR.
Mereka berkata, pertandingan untuk dua jawatan tertinggi dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR pada 24 Mei nanti boleh memberi implikasi kepada kerajaan perpaduan dan PRU akan datang.
“PKR parti utama dalam kerajaan perpaduan. Kestabilan dari segi kepimpinannya penting untuk memastikan parti kekal fokus, bukannya terganggu oleh perebutan kuasa dalaman yang boleh melemahkannya,” kata Awang Azman kepada FMT.
Menurutnya, sebarang ketidakstabilan atau ketidaktentuan dalam kerajaan perpaduan pasti dieksploitasi Perikatan Nasional sebagai modal politik.
Chin yang senada berkata, tidak bijak membiarkan mana-mana individu mengganggu PKR ketika ini kerana ia boleh membawa kesan kepada seluruh pentadbiran persekutuan.
“Ini bukan saja menjejaskan PKR. Kerajaan perpaduan juga akan terjejas, jika Rafizi mencabar Anwar (contohnya untuk jawatan presiden PKR).
“Biasanya, konflik sedemikian tidak akan selesai walaupun selepas pemilihan parti, tetapi akan berlarutan,” kata Chin, pengarah Institut Kajian Sosial Tun Tan Cheng Lock di Utar.
Beliau berkata, puak dalam PKR akan muncul secara semula jadi, walaupun mereka mungkin tidak kelihatan kerana ketika ini jawatan tertinggi parti tidak dicabar.
Sabtu lalu, Setiausaha Politik Kanan Anwar, Shamsul Iskandar Akin dilaporkan berkata, rundingan sedang diadakan supaya jawatan presiden PKR dan timbalannya tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti Mei ini.
Bekas naib ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman mengkritik cadangan itu dengan berkata, pertandingan terbuka untuk jawatan tertinggi perlu bagi menegakkan demokrasi.
Shamsul bagaimanapun tidak bersetuju dan berkata, rundingan menjelang pemilihan parti juga sebahagian daripada proses demokrasi.
Awang Azman dan Chin menjangkakan akar umbi PKR akan menyokong cadangan mengekalkan Anwar sebagai presiden mereka kerana tiada pemimpin parti lain yang dapat menandingi kualitinya.
“Sentimen akar umbi dalam PKR memihak untuk mengekalkan presiden mereka kerana percaya ini tindakan terbaik memandangkan tiada pemimpin lain mempunyai pengalaman dan pengaruh seperti Anwar,” kata Chin.
Awang Azman mengakui saingan sihat dapat memastikan parti politik sentiasa bertenaga dan responsif terhadap perubahan keperluan rakyat, tetapi perlu ada keseimbangan.
“Dalam konteks kestabilan parti dan kerajaan, mengekalkan kepimpinan sedia ada lebih bermanfaat. Cabaran utama ialah mencapai keseimbangan antara kestabilan dan keterbukaan politik.”