PM jamin kenaikan tarif elektrik tak beban komuniti perniagaan

PM jamin kenaikan tarif elektrik tak beban komuniti perniagaan

Anwar Ibrahim berkata 85% isi rumah juga tidak akan terjejas kerana kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi elektrik.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata isi rumah berpendapatan rendah akan terus tidak terjejas oleh semakan tarif elektrik pada separuh kedua 2025. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa sebarang kenaikan tarif elektrik tidak akan membebankan komuniti perniagaan, selain 85% isi rumah akan terus mendapat subsidi.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua 2025 tidak akan membebankan atau merugikan komuniti perniagaan.

Berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), beliau juga menegaskan bahawa isi rumah berpendapatan rendah akan terus tidak terjejas oleh semakan tarif dijadualkan bagi tempoh tersebut.

Pada masa ini, kerajaan memberikan subsidi elektrik kepada lebih 85% isi rumah.

Tarif asas elektrik di Malaysia ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah kerangka Kawalselia Berasaskan Insentif (IBR) dan disemak setiap tiga tahun.

Selain tarif asas, terdapat mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) yang disemak setiap enam bulan.

ICPT melaraskan kadar elektrik berdasarkan perubahan sebenar dalam kos bahan api.

Semakan tarif seterusnya akan dilakukan pada Julai, 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.