Agong mahu hasil positif ekonomi untungkan semua rakyat, bukan kumpulan tertentu

Agong mahu hasil positif ekonomi untungkan semua rakyat, bukan kumpulan tertentu

Sultan Ibrahim turut sambut baik pelaksanaan subsidi bersasar yang berupaya kukuhkan kewangan negara.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima Titah Diraja daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berharap perkembangan ekonomi negara yang menunjukkan prestasi baik tahun lalu dapat dinikmati semua rakyat, bukan hanya menguntungkan kumpulan tertentu.

Bertitah sempena pembukaan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-15, Sultan Ibrahim sukacita dengan prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin baik, menyaksikan nilai ringgit kembali kukuh serta kadar pengangguran kekal rendah.

Titahnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu telah mencapai 5.9% dalam pelbagai sektor manakala jumlah perdagangan pula melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan pertama.

“Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan di atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan ini, saya harap terus dipertingkatkan.

“Namun begitu kerajaan hendaklah menentukan agar prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja,” titah Sultan Ibrahim.

Sehubungan itu, baginda menyambut baik pelaksanaan pendekatan subsidi bersasar yang telah berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan negara.

“Namun saya menggesa agar subsidi bersasar itu diagihkan dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan benar-benar layak sahaja,” titahnya.

Awal bulan ini, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata rasionalisasi subsidi diesel diperkenal Jun tahun lalu dijangka menjimatkan antara RM7.2 bilion dan RM7.5 bilion, lebih besar berbanding RM4 bilion diunjurkan.

Anwar yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 secara berperingkat pada pertengahan tahun ini.

Namun beliau menjelaskan perbelanjaan dianggarkan sekitar RM12 bilion akan terus dinikmati 85% rakyat Malaysia.

Penjimatan daripada langkah itu juga dapat membantu meningkatkan bantuan kepada rakyat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.