
Menurut video-video tersebut, warga Indonesia boleh dibawa dari pelbagai kawasan di Indonesia, seperti Surabaya, Lombok dan Tanjung Balai, ke Malaysia dengan harga antara RM1,600 hingga RM2,900 seorang.
Pengangkutan turut didakwa ditawarkan ke Johor, Kelantan dan Selangor, termasuk Pelabuhan Klang, malah permintaan warga Indonesia di Malaysia yang ingin pulang turut dilayan.
Banyak video dikatakan menunjukkan warga asing mengucapkan terima kasih kepada penyedia perkhidmatan itu kerana membantu mereka masuk ke Malaysia atau kembali ke Indonesia.

Beberapa video mencapai hampir 200,000 tontonan, dengan banyak komen meminta laluan tertentu disediakan, sementara pemegang akaun TikTok tersebut meminta mereka yang berminat agar menghantar mesej Whatsapp ke nombor tertentu.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, apabila dihubungi, menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan tersebut agar menghubungi polis melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
“Polis sentiasa pantau maklumat-maklumat seperti ini untuk atur operasi,” katanya kepada FMT.