
Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata pada 11 Dis tahun lalu wanita berusia 54 tahun itu melihat satu iklan pelaburan di laman sosial sebelum menghubungi lelaki dikenali sebagai ‘Zulfikar’ melalui aplikasi Whatsapp untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Beliau berkata mangsa yang berasal dari Tepoh, Kuala Nerus itu kemudiannya diminta untuk menghubungi wanita lain yang akan menerangkan lebih lanjut tentang pelaburan tersebut.
“Mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak RM30,000 dalam masa tiga hingga enam jam dengan pelaburan asas sebanyak RM500. Terpengaruh dengan nilai keuntungan yang besar, mangsa membuat pelaburan pertama seperti yang diarahkan.
“Namun, beberapa jam kemudian, mangsa diminta untuk membuat pembayaran lain bagi urusan pengeluaran keuntungan,” katanya ketika dihubungi.
Azli berkata mangsa membuat 42 kali bayaran ke 16 akaun berbeza menggunakan wang simpanan dan hasil gadaian barang kemas.
Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu membuat laporan polis semalam setelah gagal mendapat keuntungan pelaburan yang dijanjikan selepas sekian lama menunggu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai diminta agar sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan sindiket yang semakin pelbagai,” katanya.