Letupan kilang kimia: Polis tak kesan unsur cuai, jenayah

Letupan kilang kimia: Polis tak kesan unsur cuai, jenayah

Ketua Polis Klang Utara S Vijaya Rao berkata kejadian berlaku akibat reaksi bahan kimia dan siasatan lanjut kini diteruskan JAS.

Kejadian letupan kilang kimia di Taman Perindustrian Kapar Indah, pada 20 Jan lalu menyebabkan 33 orang cedera ringan.
KLANG:
Polis tidak mengesan unsur kecuaian atau jenayah membabitkan kes letupan sebuah kilang pemprosesan bahan kimia kitar semula di Taman Perindustrian Kapar Indah, pada 20 Jan lalu.

Ketua Polis Klang Utara S Vijaya Rao berkata pihaknya mendapati kejadian berlaku akibat reaksi bahan kimia dengan siasatan lanjut kini diteruskan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

“Siasatan kami mendapati kejadian berpunca daripada reaksi bahan kimia dan tiada unsur kecuaian atau jenayah, polis juga selesai mengambil keterangan pemilik kilang, pekerja dan orang awam yang menyaksikan insiden tersebut.

“…turut dimaklumkan pihak kilang kini dalam proses pembersihan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra ke pasar pagi Taman Eng Ann.

Sebelum ini, Vijaya dilaporkan berkata jumlah mangsa terlibat dalam kejadian tersebut ialah 33 orang yang semuanya mengalami kecederaan ringan seperti pedih pada bahagian mata dan sesak nafas.

Mengulas kes kebakaran kilang gas LPG di kawasan perindustrian Sungai Puloh, di sini beliau berkata seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia sekali gus menjadikan dua individu terkorban dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 22 Jan lepas.

“Warga asing berkenaan meninggal selang sehari selepas mangsa pertama, juga disebabkan kecederaan parah akibat terbakar dan kes ini sedang disiasat di bawah kematian mengejut,” katanya.

Dalam pada itu, pada program hari ini Vijaya turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung agar mengisi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah sepanjang ketiadaan mereka di rumah.

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah menerima 15 permohonan VSP, selain akan turut meningkatkan rondaan menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.