COO konsesi lebuh raya didakwa 2 tuduhan rasuah lagi

COO konsesi lebuh raya didakwa 2 tuduhan rasuah lagi

Rostam Shahrif Tami didakwa menerima rasuah RM110,000 bagi kontrak berkaitan projek SUKE kepada syarikat Satunas Technologies.

Rostam Shahrif Tami
COO Kumpulan Prolintas Rostam Shahrif Tami didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua tuduhan rasuah membabitkan wang tunai RM110,000.
SHAH ALAM:
Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Prolintas, Rostam Shahrif Tami didakwa lagi di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM110,000 bagi kontrak yang berkaitan dengan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Rostam, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nasir Nordin.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menerima wang tunai RM90,000 di sebuah restoran di Puchong pada 20 Feb 2023 sebagai dorongan untuk menganugerahkan kontrak SUKE kepada Satunas Technologies Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, Rostam didakwa menerima wang tunai RM20,000 di tempat letak kereta ibu pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia di Kajang pada 27 Mac 2023 bagi memudahkan penganugerahan satu lagi kontrak SUKE kepada syarikat yang sama.

Rostam didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan permohonan Rostam agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama pertuduhan rasuah lain yang dihadapinya.

Nasir juga memutuskan bahawa syarat jaminan yang dikenakan oleh mahkamah Kuala Lumpur semalam akan terus terpakai dalam kes ini.

Rostam, yang diarahkan bercuti daripada jawatannya di Prolintas sejak Julai tahun lalu, diwakili peguam Dzulkifli Ahmad, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras.

Semalam, Rostam didakwa atas pertuduhan menerima rasuah RM70,000 daripada seorang wakil Satunas Technologies bagi menganugerahkan pakej kerja SUKE kepada syarikat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.