
Semua yang ditahan warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 28 tahun, dengan rekod jenayah dan narkotik lampau.
“Suspek ditahan reman selama tiga hari mulai 27 Jan hingga 29 Jan bagi siasatan lanjut,” kata Timbalan Ketua Polis Subang Jaya, Mohd Fairus Jaafar, dalam kenyataan.
Kes disiasat bawah Seksyen 394 dan 397 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.
Dalam kejadian yang diadukan pada 26 Jan 12.13 tengah malam, sekumpulan individu dianggarkan 11 orang lengkap bertopeng dan membawa beberapa bilah parang memasuki sebuah rumah di Puchong, menyerbu dua mangsa dan menetak mereka berkali-kali.
Semua suspek kemudian melarikan diri dengan tiga kenderaan.
Dua mangsa terbabit mengalami kecederaan pada bahu, kaki, tangan serta beberapa bahagian badan lain.
“Kedua-dua mangsa sedang dirawat di Hospital Sedang dan dalam keadaan stabil,” kata Fairus.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta memberikan kerjasama kepada polis melalui 03 78627222 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau pegawai penyiasat, Khairulazizi Ismail di talian 019 2817820.