
Beliau berkata sekolah itu wadah pembelajaran politik dan medan untuk membentuk jiwa perjuangan dalam kalangan generasi muda.
“Kita mahu membina kepimpinan yang bukan sekadar mahir berpidato atau menguasai teori, tetapi benar-benar mempunyai daya juang, daya tahan dan daya saing yang tinggi tanpa mengabaikan kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara.
“Saya percaya bahawa usaha ini adalah satu langkah strategik dalam memastikan Umno terus relevan dan kekal sebagai tunjang politik negara,” katanya di Facebook.
Zahid berkata sebagai permulaan, 50 peserta perintis dipilih untuk mengikuti program di sekolah berkenaan, dengan modul latihan dirangka secara holistik merangkumi aspek pemikiran kritis, kepimpinan strategik, dan pemahaman mendalam terhadap perjuangan Umno.
Modul berkenaan akan dikembangkan dan diperhalusi dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan dalam membentuk generasi pemimpin yang cerdas, berani, dan berkeyakinan tinggi.
Zahid menyatakan keyakinan bahawa dengan kesungguhan, disiplin dan semangat perjuangan yang tinggi, Sekolah Patriotik Umno akan jadi batu asas kepada kebangkitan generasi baharu.
“Anak muda hari ini tidak boleh hanya menjadi penonton dalam arena politik, sebaliknya mereka perlu bangkit sebagai pemikir, perancang dan pelaksana yang mampu mencorakkan masa depan Malaysia.
“Melalui Sekolah Patriotik Umno, kita membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi muda untuk menyumbang idea, berdiskusi secara terbuka serta menjalani latihan kepimpinan yang akan memperkasa keupayaan mereka sebagai pemimpin masa hadapan,” katanya.