
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Ahli Parlimen Sembrong itu antara pemimpin Umno yang menyerahkan permohonan tersebut selain bekas ketua pemuda, Khairy Jamaluddin.
“Berita yang cukup syahdu dan menggembirakan di malam-malam terakhir Ramadan.
“Selain Khairy, ramai lagi pemimpin yang pernah menabur jasa menyerahkan surat permohonan untuk kembali bersama memperkuatkan wadah perjuangan Rumah Bangsa ini termasuk Hishamuddin.
“Moga-moga Allah memberkati Umno sebagai Rumah Bangsa ini untuk terus memperjuangkan agenda Islam, Melayu dan negara keseluruhannya,” katanya di Facebook.
Hishammuddin sebelum ini berkata beliau tiada masalah untuk kembali menyertai parti itu sekiranya penggantungannya ditarik balik.
Pada 2023, Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun.
Terdahulu hari ini, Presiden Umno Zahid Hamidi memaklumkan telah menerima surat rayuan daripada Khairy untuk kembali menyertai parti itu semalam.
Khairy yang juga bekas menteri kesihatan dipecat daripada parti pada 23 Jan 2023 atas sebab pelanggaran disiplin parti selepas PRU15.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Zambry Abdul Kadir berkata proses permohonan rayuan Khairy untuk menyertai semula parti itu dijangka tidak akan mengambil masa yang lama.
Zambry berkata rayuan Khairy akan dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi parti dan Naib Presiden Khaled Nordin telah dilantik sebagai pengerusi teknikal bagi menilai proses itu, lapor Bernama.
“Saya lihat pertemuan semalam (Presiden Umno Zahid Hamidi dan Khairy) itu telah memberi petunjuk yang sangat baik kerana kedua-duanya dapat bertemu dalam suasana yang penuh harmoni.
“Saya yakin ia tidak akan mengambil masa yang panjang kerana ini merupakan satu proses yang cepat, kerana ia adalah merupakan idea daripada presiden untuk menubuhkan Rumah Bangsa bagi membawa balik bekas-bekas ahli,” katanya yang dipetik sebagai berkata.