Penganjur kunjungan pesawah dinasihat pilih tarikh lain ekoran lawatan Prabowo

Penganjur kunjungan pesawah dinasihat pilih tarikh lain ekoran lawatan Prabowo

Polis berkata kawalan keselamatan sempena Lawatan Negara presiden Indonesia akan dipertingkatkan.

razarudin
Ketua Polis Negara Razarudin Husain kata pihaknya menghormati hasrat peserta kunjungan 1,000 pesawah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menasihati penganjur suatu kunjungan oleh pesawah ke Putrajaya esok memilih tarikh lain, ekoran kawalan keselamatan dipertingkatkan sempena Lawatan Negara presiden Indonesia.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata nasihat ini untuk melegakan kesulitan kepada peserta kunjungan, yang akan terpaksa melalui tatacara keselamatan yang ketat.

“Polis menghormati hasrat para peserta kunjungan 1,000 pesawah tersebut namun menasihat mereka supaya memilih tarikh dan waktu yang berlainan bagi penyelarasan tugasan dan aturan keselamatan yang lebih sempurna dalam menjamin keselamatan presiden Republik Indonesia sentiasa berada di tahap tertinggi,” menurut kenyataan.

“Nasihat ini untuk mengelakkan segala kesulitan kepada para peserta 1,000 pesawah dan pandangan negatif terhadap polis sekiranya para peserta terpaksa melalui prosedur keselamatan yang ketat kerana lawatan presiden Indonesia ini mendapat status tetamu negara dengan kawalan keselamatan dipertingkatkan.”

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan lebih 1,000 pesawah akan berkumpul di Putrajaya esok bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Abdul Rashid Yob, antara perkara yang mahu dibawa ke perhatian perdana menteri berkenaan tuntutan pesawah yang mahukan harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 untuk satu tan metrik.

Namun acara ini bertindih dengan Lawatan Negara oleh Presiden Prabowo Subianto, yang diiringi menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Razarudin berkata polis telah bersiap sedia dari sudut keselamatan untuk memastikan lawatan rasmi presiden Indonesia bebas daripada apa jua ancaman.

Polis juga menyeru kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi demi menjaga keharmonian dan ketenteraman awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.