Pempengaruh ditahan kerana kenyataan berkait kes OKU dipukul

Pempengaruh ditahan kerana kenyataan berkait kes OKU dipukul

Polis terima laporan memaklumkan terhadap satu catatan berbaur ugutan berhubung kes pukul tersebut di laman sosial.

OKU KENA SEPAK
Polis ingatkan orang ramai supaya tidak buat kandungan yang boleh cetus kegusaran awam, susulan penahanan seorang pempengaruh kerana kenyataan di laman sosial berkait kes OKU dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai.
CHUKAI:
Seorang pempengaruh media sosial ditahan polis kerana kenyataan di laman sosial berkaitan kes seorang Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada 17 Jan lepas.

Pemangku Ketua Polis Kemaman, Wan Muhamad Wan Ja’afar, berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Segamat, Johor, kira-kira pukul 6.55 pagi tadi.

Beliau berkata suspek direman sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah, dan Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Khamis lepas, kami menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang memaklumkan terdapat satu hantaran berbaur ugutan berhubung kes pukul tersebut di laman sosial milik pempengaruh berkenaan.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai, tanpa mengira latar belakang supaya tidak memuat naik sebarang kandungan yang boleh menimbulkan atau mencetuskan kegusaran awam,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.