Menteri saran PBT kekal status quo jual arak

Menteri saran PBT kekal status quo jual arak

Nga Kor Ming berkata perpaduan rakyat sudah berada di landasan betul dan semua pihak perlu memfokuskan usaha menjadikan Malaysia disanjung di pentas dunia.

nga kor ming
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ia bagi menjaga keharmonian dan hubungan masyarakat berbilang kaum serta mengelakkan sentimen politik. (Gambar Bernama)

Nota editor: Sinar Harian telah mengemas kini laporannya berikutan penjelasan seorang pegawai media yang mengatakan menteri tidak secara khusus merujuk kepada kawasan majoriti Melayu-Islam.

PETALING JAYA:
Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berkaitan isu penjualan minuman beralkohol.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata ia bagi menjaga keharmonian dan hubungan masyarakat berbilang kaum serta mengelakkan sentimen politik.

“Dalam hal ini, kita nak jaga keharmonian semua. Jadi, bagi saya, kita akan kekalkan status quo waktu ini kerana tiada isu pun,” katanya menurut Sinar Harian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Pasir Pinji dan lawatan ke Pasar Taman Canning di Ipoh.

“Mereka yang tidak boleh minum, jangan belilah dan kita pun tidak boleh larang orang yang boleh minum kerana itu hak dia.

“Jangan lupa juga bahawa premis yang menjual (minuman beralkohol) di mana-mana kawasan pun semuanya ada lesen dan perniagaan itu bukan perniagaan tidak sah di sisi undang-undang.”

Pada 18 Jan lalu, Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin dilaporkan berkata, ada cadangan dan tuntutan supaya larangan penjualan arak dan minuman beralkohol ke kawasan majoriti penduduk Melayu-Islam diperluaskan ke Ulu Chepor, Rapat Setia dan Kampung Sungai Rokam.

Beliau berkata, dengan Majlis Bandaraya Ipoh pada dasarnya bersetuju, tetapi cadangan itu perlu diteliti.

Nga berkata, jika ada permohonan komuniti setempat untuk melaksanakan larangan itu, PBT perlu menilai dan menelitinya dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

Katanya, perpaduan rakyat sudah berada di landasan betul dan semua pihak perlu memfokuskan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara disanjung di pentas dunia.

“Sebab itu saya sentiasa berikan nasihat, kita jangan hilang fokus dengan isu remeh yang tidak membina. Apabila kita terjerumus dalam pelbagai isu polemik, ia tidak membantu sesiapa pun, hanya merugikan semua pihak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.