
Ketua Penerangan Wendy Subramaniam berkata, Gerakan mempunyai kompetensi tersendiri dan sentiasa bersuara demi masyarakat Pulau Pinang.

“Cuba tengok pola keputusan PRK DUN Sungai Bakap, baca surat khabar Cina, fahami mengapa adanya pergerakan yang berpendapat politik Gerakan lebih bersih daripada politik DAP yang kini dilanda banjir politik nepotisme,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu sumber memberitahu FMT, PN akan mengalihkan fokusnya di Pulau Pinang kepada pengundi Melayu dan India untuk memenangi majoriti tipis kerusi pada PRN akan datang.
Katanya, PN mengakui akan bergelut untuk meraih undi Cina di negeri itu – seperti dibuktikan oleh prestasinya pada PRU15 dan PRN 2023, apabila komponen berbilang kaumnya, Gerakan gagal memperoleh sokongan pengundi Cina untuk gabungan.
Sumber berkata, PN turut mendapati ada perubahan ketara sokongan dalam kalangan masyarakat India Pulau Pinang, khususnya pada PRK Sungai Bakap Julai 2024.
Menyusul kenyataan itu, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan, berkata pihaknya sedia memimpin PN di Pulau Pinang sambil menambah terbuka mengadakan perbincangan bersama pemimpin gabungan.
“Secara tradisinya ia adalah negeri pimpinan Gerakan, tetapi kita akan berbincang dengan semua pihak yang terlibat sekiranya terdapat sebarang perubahan yang perlu dilakukan. Kami bersedia menerajui Pulau Pinang,” kata Punithan.
Sementara itu, Wendy berkata Gerakan mempunyai pengalaman luas dalam membangunkan Pulau Pinang dan pernah memberikan ruang politik sihat sepanjang memerintah negeri tersebut.
“PAS dan Bersatu memahami jasa tersebut dan memberi sokongan secukupnya kepada Gerakan mengetuai jentera negeri. Kini, MIPP dalam gelanggang bersama PN, dan kami berharap yang sama.
“Status quo terpakai, Gerakan bersama Bersatu, PAS dan MIPP akan berusaha mewujudkan kerajaan rakyat untuk rakyat Pulau Pinang,” katanya.