50 selebriti termasuk ‘artis kaya’ bergelar Datuk bankrap

50 selebriti termasuk ‘artis kaya’ bergelar Datuk bankrap

Jabatan Insolvensi berkata ada antara mereka enggan bekerjasama melunaskan bayaran bulanan ditetapkan selepas kes ditadbir pihaknya.

Ada antara artis muflis memaparkan kehidupan mewah di media sosial tetapi gagal melakukan pembayaran bulanan ditetapkan berdasarkan kemampuan walaupun jumlah dikenakan kecil.
PETALING JAYA:
Kira-kira 50 selebriti termasuk penyanyi terkenal bergelar Datuk berada dalam senarai ‘artis kaya’ masih kekal berstatus bankrap, dedah Jabatan Insolvensi (MDI).
M Bakri Abd Majid
M Bakri Abd Majid.

Ketua Pengarah MDI, M Bakri Abd Majid, berkata malah ada antara mereka enggan bekerjasama melunaskan bayaran bulanan ditetapkan selepas kes ditadbir pihaknya.

Katanya, sikap artis yang enggan menemui pegawai MDI bagi membincangkan kes kebankrapan walaupun notis sudah lama dikeluarkan atau gagal membuat sumbangan bulanan ditetapkan pihaknya, menyebabkan MDI sukar membantu melepaskan mereka daripada status muflis mengikut peruntukan udang-undang.

Menurutnya, ada antara artis terbabit memaparkan kehidupan mewah di media sosial, tetapi gagal melakukan pembayaran bulanan ditetapkan berdasarkan kemampuan walaupun jumlah dikenakan adalah kecil.

“Ada antara artis berkenaan sepatutnya boleh dibebaskan daripada status bankrap, contohnya kes sudah melebihi lima tahun, tetapi disebabkan tidak memberi kerjasama baik atau langsung tidak bertemu pegawai MDI untuk membincangkan kes itu, jadi mereka kekal bankrap sehingga kini.

“Memang jumlah selebriti yang muflis di negara ini tidak ramai, tetapi mereka yang mempunyai ramai peminat ini sewajarnya menunjukkan contoh baik kepada masyarakat,” katanya menurut Berita Harian.

Difahamkan, antara artis berstatus bankrap itu adalah dua penyanyi rock terkenal negara yang masih aktif dalam bidang seni dan beberapa pelakon popular.

Selain artis terbabit, ahli perniagaan, tokoh korporat dan ahli politik juga turut tersenarai sebagai individu bankrap yang masih belum dilepaskan sehingga kini atas pelbagai faktor termasuk gagal memberi kerjasama sepatutnya kepada MDI bagi pengurusan kes.

Bakri berkata, semua pihak termasuk artis perlu mengetahui status bankrap itu bukan penamat kehidupan, sebaliknya jika mematuhi arahan, pengurusan kes kebankrapan menjadi mudah, sekali gus boleh dibebaskan dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun.

“Antara kriteria dilihat jika orang bankrap mahu dilepaskan daripada muflis ialah menjadi ‘individu bankrap yang baik’ iaitu membayar sumbangan bulanan ditetapkan tanpa culas dan menghantar laporan pendapatan serta perbelanjaan setiap enam bulan kepada MDI.

“Jika mereka masih dalam tempoh bankrap dan mahu ke luar negara atas urusan rasmi atau mahu melakukan ibadat, MDI sedia menimbang permohonan itu mengikut syarat ditetapkan, tetapi malangnya ada artis menyalahgunakan kemudahan diberikan itu,” katanya.

Mengulas kerjaya artis yang tidak terjejas dan masih menerima pendapatan lumayan walaupun berstatus bankrap tetapi gagal dikesan MDI, Bakri berkata wang diperoleh hasil kerja seni itu dipercayai dimasukkan ke akaun pihak lain.

Katanya, antara punca artis diisytihar bankrap disebabkan kegagalan perniagaan, pembelian hartanah mewah termasuk kenderaan dan menjadi penjamin kepada orang lain.

“Individu bankrap dibenar membuka satu akaun bank sahaja. Jadi, kita tidak menolak kemungkinan artis yang banyak mendapat projek seni termasuk mengadakan konsert menyalurkan bayaran lumayan diterima mereka kepada akaun pihak lain termasuk keluarga.

“Bagaimanapun, jika kita berjaya mengesan kes seperti ini, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terbabit kerana menyembunyikan pendapatan diperoleh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.