
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata lelaki 59 tahun terjumpa satu iklan pelaburan kripto di Facebook dan dimasukkan ke kumpulan Whatsapp ‘The Miracle Of Stock Market’ sekitar Oktober lalu.
Beliau berkata, mangsa ditawarkan pelan pelaburan kripto dengan keuntungan 30% hingga 70% dalam tempoh singkat dan diarahkan membuat pelaburan menerusi laman web Digzax.com.
“Bermula pada 29 Okt 2024 hingga 18 Jan lalu, mangsa membuat 41 transaksi berjumlah RM2,055,944 ke 11 akaun bank berbeza. Mangsa diyakinkan akan mendapat keuntungan RM46 juta di platform tersebut.
“Mangsa sedar ditipu apabila ingin mengeluarkan wang keuntungan pelaburan, tetapi diminta membuat pelbagai jenis bayaran tambahan sehingga mengalami kerugian seperti jumlah disebutkan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, siasatan awal mengenal pasti modus operandi digunakan adalah memperdayakan mangsa menerusi iklan di Facebook.
Hussein menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh tawaran pelaburan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya menerusi aplikasi telefon bimbit serta tidak diluluskan Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.