
Rusdi berkata, penganjur Himpunan Rakyat Benci Rasuah masih belum menunjukkan mereka telah mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan itu.
“Penganjur sebelum ini menyerahkan notis itu tetapi tidak lengkap. Kami meminta mereka mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah,” katanya kepada pemberita di IPK Kuala Lumpur.
Rusdi turut mempertikaikan dakwaan bahawa DBKL bukan pemilik tempat itu.
Beliau berkata, di Kuala Lumpur, Padang Merbok dan Dataran Merdeka telah diwartakan sebagai tempat perhimpunan dan DBKL adalah pemilik ditetapkan bagi tempat itu.
Bagaimanapun, beliau berkata polis sedar bahawa penganjur akan tetap meneruskan perhimpunan itu, sambil menambah 400 anggota akan dihantar untuk menjaga keamanan dan ketenteraman.
Beliau turut menggesa semua pihak mematuhi undang-undang.
Sekretariat perhimpunan itu sebelum ini mendakwa syarat yang ditetapkan oleh polis Dang Wangi tidak mempunyai asas undang-undang dan bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Penasihat undang-undang sekretariat itu Zaid Malek berkata mereka telah mengemukakan pemberitahuan untuk perhimpunan itu pada 15 Jan, tetapi polis telah meminta mereka untuk mendapatkan kebenaran pemilik tempat perhimpunan itu, menyatakan Seksyen 11 PAA sebagai syarat untuk notis itu di bawah Seksyen 9 akta yang sama.
Beliau berkata, syarat itu mengejutkan kerana perhimpunan itu akan diadakan di tempat awam.