
Mengulas kebimbangan kelulusan bagi Himpunan Rakyat Benci Rasuah, Anwar berkata kerajaan telah memberikan kebenaran berhimpun.
“Kita tiada masalah (dengan himpunan),” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat.
“Kebenaran telah diluluskan. Menteri dalam negeri (Saifuddin Nasution Ismail) sudah beritahu.
“Cuma ada tempat yang tidak diberi kebenaran. Bagi saya tiada masalah…silakan bantah rasuah.”
Anwar berkata, pentadbirannya sentiasa komited memerangi rasuah sejak beliau menjadi perdana menteri dua tahun lalu, sambil menyatakan kes dibangkitkan sekarang adalah “lama”.
“Bila kita bangkit soal hilang berbillion-billion tidak ada pulak suara,” katanya merujuk kepada skandal 1MDB.
“Malah ada orang pertahankan pulak.”
Awal hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa, berkata penganjur himpunan antirasuah itu belum menyerahkan semula notis, memandangkan notis sebelum ini tidak lengkap.
Katanya, penganjur Himpunan Rakyat Benci Rasuah masih belum menunjukkan mereka telah mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan itu.
Rusdi turut mempertikaikan dakwaan bahawa DBKL bukan pemilik tempat itu.
Beliau berkata, di Kuala Lumpur, Padang Merbok dan Dataran Merdeka telah diwartakan sebagai tempat perhimpunan dan DBKL adalah pemilik ditetapkan bagi tempat itu.
Pada Selasa, Saifuddin menolak dakwaan pihak penganjur bahawa syarat ditetapkan polis untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pemilik atau penghuni tempat perhimpunan itu tidak mempunyai asas undang-undang.