
PETALING JAYA: Polis masih menyiasat kejadian tembakan di kawasan Pantai Morib, Kuala Langat, awal pagi tadi yang menyebabkan seorang lelaki maut dan empat lagi cedera.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata kejadian melibatkan lima lelaki di mana seorang daripada mereka maut di lokasi kejadian dan empat lagi mengalami kecederaan, lapor Berita Harian.
Katanya, mangsa cedera dipercayai warga Indonesia manakala identiti lelaki yang maut belum dikenal pasti.
“Seorang yang cedera dihantar ke Hospital Klang untuk rawatan lanjut manakala tiga lagi sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah di Serdang,” katanya.
Hussein berkata, buat masa ini kes masih dalam siasatan lanjut polis Kuala Langat dan Sepang.