Perubahan iklim: Keputusan AS tak luntur komitmen Malaysia

Perubahan iklim: Keputusan AS tak luntur komitmen Malaysia

Menteri sumber asli berkata, pihaknya akan terus meneroka kerjasama dengan semua negara bagi mencari jalan terbaik mengenai isu perubahan iklim.

nik nazmi
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, selaku pengerusi Asean 2025, Malaysia komited meneruskan usaha dalam tindakan iklim dan memperkukuh kerjasama serantau. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara lain dalam menangani isu perubahan iklim di sebalik keputusan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya akan terus bertemu, berkomunikasi serta meneroka kerjasama dengan semua negara bagi mencari jalan terbaik mengenai isu perubahan iklim.

Katanya, perkara itu pernah dibangkitkan ketika pertemuan dengan wakil AS pada Persidangan Pihak-pihak Ke-29 (COP29) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), sebelum ini.

“Itu keputusan mereka (AS) tetapi seluruh dunia perlu bertindak dan mencari jalan terbaik,” katanya.

“Malaysia akan terus berbincang dan menjaga hubungan kita dengan negara-negara yang kita jalinkan hubungan diplomatik termasuk AS.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hasil Konvensyen Rangka Kerja UNFCCC: Pelancaran Laporan Pembabitan Malaysia di UNFCCC-COP29 (Persidangan Ke-29 Pihak-Pihak) dan Laporan Ketelusan Dwitahunan (BTR) hari ini.

Nik Nazmi berkata, menerusi penyerahan BTR pertama kepada UNFCCC dalam tempoh masa ditetapkan, pada 31 Dis lepas, Malaysia muncul antara 85 negara daripada 198 negara yang berjaya memenuhi komitmen bawah Perjanjian Paris.

Dokumen itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran Sumbangan Ditentukan Negara (NDC), iaitu pengurangan 45% dalam intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) secara menyeluruh menjelang 2030.

Sementara itu, dalam ucapannya, Nik Nazmi berkata, selaku pengerusi Asean 2025, Malaysia komited meneruskan usaha dalam tindakan iklim dan memperkukuh kerjasama serantau selaras dengan aspirasi global.

Beliau turut menyentuh mengenai pencapaian utama Malaysia sepanjang tahun lepas dalam memerangi perubahan iklim yang meletakkan negara ini sebagai peneraju tindakan iklim dalam Asean dan di peringkat dunia.

“Selaku pengerusi Asean 2025, kami berhasrat memperteguh suara kolektif Asean mengenai tindakan iklim, memastikan ia selaras aspirasi global, dan pada COP30 di Belem, Brazil, kami akan membentangkan Kenyataan Bersama Asean mengenai Perubahan Iklim, yang menumpukan kepada kerjasama serantau, sokongan kewangan, dan laluan pembangunan mampan untuk negara anggota,” katanya.

Nik Nazmi turut menyentuh mengenai hasrat Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih sifar menjelang 2050, sambil mengulangi iltizam negara terhadap Perjanjian Paris dan agenda iklim Asean.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.