Mahkamah kekal pemecatan bekas juruteknik oleh GLC berkait gangguan seksual

Mahkamah kekal pemecatan bekas juruteknik oleh GLC berkait gangguan seksual

Mahkamah Perusahaan kata pihak majikan telah menunjukkan alasan yang kukuh dan rasional untuk percaya bahawa pihka yang menuntut melakukan salah laku.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan kata gangguan seksual dalam apa jua bentuk tidak boleh ditoleransi dan pelaku harus dipertanggungjawabkan dan dihukum sewajarnya, termasuk melalui pemecatan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Perusahaan mengekalkan pemecatan seorang bekas juruteknik oleh syarikat berkaitan kerajaan, kerana mengganggu secara seksual seorang tukang cuci berusia 17 tahun, tiga tahun lalu.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur, Amrik Singh, berkata Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) memberi peluang kepada pihak yang menuntut membela diri, termasuk dalam siasatan domestik.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa penjelasan pihak yang menuntut adalah penafian kosong (bare denial).

“Gangguan seksual dalam apa jua bentuk tidak boleh ditoleransi, kerana ia berpotensi menyebabkan mangsa dihina, diugut, kehilangan maruah diri dan trauma psikologi jika pelaku tidak dipertanggungjawabkan dan dihukum sewajarnya,” kata Amrik dalam award yang diterbitkan minggu lepas.

Beliau berkata pemecatan adalah hukuman lazim dan sesuai untuk salah laku seperti itu.

Amrik berkata, inkuiri undang-undang yang sewajarnya ialah sama ada majikan bertindak secara munasabah apabila mempercayai pekerja terbabit melakukan salah laku itu.

“Majikan tidak perlu membuktikan secara muktamad salah laku itu, sebaliknya majikan perlu memastikan ada alasan-alasan yang kukuh dan rasional untuk mempercayai secara munasabah bahawa pekerja terbabit telah melakukan salah laku itu,” katanya.

Amrik berkata berdasarkan ujian ini dan piawaian pembuktian yang terpakai, pihak syarikat mengesahkan bahawa pihak yang menuntut telah melakukan salah laku itu.

Pihak yang menuntut, menyertai syarikat itu pada 2001, dipecat pada 2022 selepas panel inkuiri domestik mendapati dia bersalah kerana membelai mangsa, seorang pekerja yang diambil bekerja oleh kontraktor pembersihan pihak syarikat.

Mangsa mengadu bahawa pihak yang menuntut menyentuhnya tanpa kebenaran di antara pinggang dan ketiak, dan membelai rambutnya semasa dia duduk di pantri.

Kejadian itu disaksikan oleh rakan sekerja mangsa, yang memberi keterangan di mahkamah.

Pihak yang menuntut nafi berbuat demikian dengan sengaja, mengatakan sikunya mungkin secara tidak sengaja menggeser mangsa ketika berjalan ke sinki, kerana laluan di pantri itu sempit.

Dia juga mempersoalkan mangsa mengambil masa dua minggu untuk membuat aduan kepada pihak pengurusan. Pihak yang menuntut membuat laporan polis selepas pengadu membuat aduan, bagi menafikan dakwaan.

Amrit bagaimanapun kata tiada apa-apa yang bersifat jahat atau mencurigakan mengenai kelewatan pengadu membuat aduan.

Beliau berkata kelewatan itu tidak membatalkan dakwaan atau menjejaskan kredibiliti mangsa.

“Seorang saksi pihak syarikat menyatakan bahawa pengadu trauma dengan gangguan seksual itu dan memerlukan sedikit masa dan ruang untuk memulihkan emosi susulan kejadian itu dan untuk menentukan siapa majikan pihak yang menuntut.

“Dilihat dalam konteks hubungan orang atasan-orang bawahan, penjelasan yang dikemukakan bahawa mangsa bimbang akan akibat menyinggung pihak yang menuntut, iaitu seseorang yang berada dalam pengurusan kanan syarikat, adalah munasabah dan bukan luar biasa,” katanya.

Amrit berkata, sebahagian pembelaan oleh pihak yang menuntut kelihatan seperti terdiri daripada kenyataan yang difikirkan semula dan kenyataan yang memihak kepada diri sendiri.

Amrit berkata beliau tidak boleh terima hujah pihak yang menuntut bahawa sentuhan yang diperkatakan itu adalah tidak sengaja.

Amrit berkata bahawa semasa pemeriksaan balas, pihak yang menuntut mengakui bahawa adalah wajar untuk memohon maaf apabila berlaku sentuhan secara tidak sengaja.

“Dalam kes ini, pihak yang menuntut gagal membuat sebarang permohonan maaf. Perkara ini menyokong kesimpulan bahawa sentuhan yang diperkatakan itu bukan secara kebetulan atau tidak sengaja, sebaliknya sengaja,” tambahnya.

Amrit berkata mahkamah mendapati cerita pengadu tentang peristiwa itu boleh dipercayai dan konsisten dengan keterangan saksi pihak syarikat.

“Pengakuan oleh pihak yang menuntut bahawa dia mungkin menyentuh pengadu secara tidak sengaja mengesahkan bahawa terdapat sentuhan.

“Pengakuan ini menguatkan penemuan bahawa sentuhan itu melangkaui sentuhan tidak sengaja,” katanya.

N Sivabalah dan Reena Enbasegaram mewakili syarikat selaku peguam, manakala Muhammad Afiq Mohd Idris dan Jalilah Mohd Ali mewakili pihak yang menuntut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.