
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata, ketetapan itu selaras arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar mengenai dasar penggiliran kerja bagi penjawat awam yang bertugas di kaunter melebihi lima tahun.
“JPJ juga sedang memperincikan senarai nama penjawat awam yang bertugas di kaunter JPJ untuk dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dasar penggiliran kerja itu diyakini akan mempertingkat kecekapan, keberkesanan dan kualiti perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan, melalui kaunter-kaunter perkhidmatan JPJ.
“Selain itu, usaha ini juga sebagai antara elemen penekanan terhadap aspek integriti petugas kaunter JPJ, selain peningkatan kemahiran dan pengalaman penjawat awam terutamanya warga kerja JPJ dalam penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Aedy Fadly berkata, JPJ komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan cekap bagi menjamin kesejahteraan dan keselesaan kepada rakyat, selaras dengan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.
Shamsul Azri pada Majlis Amanat KSN Tahun 2025 mengarahkan JPA agar meneliti dan melaksanakan pusingan kerja membabitkan penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan.
Menurutnya, tempoh lima tahun bertugas di kaunter dilihat terlalu lama dan tidak bersesuaian, mengharuskan pelaksanaan pusingan kerja dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata, pelaksanaan pusingan kerja membabitkan penjawat awam di kaunter perkhidmatan mampu menangani isu integriti, menambah baik mutu penyampaian dan mewujudkan iklim kerja yang kondusif.