
Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB hari ini, Najib berkata beliau tidak mengugut Johan Idris, yang merupakan pengarah urusan KPMG ketika itu, dalam satu mesyuarat di kediamannya pada 15 Dis 2013.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh pengerusi 1MDB ketika itu, Lodin Wok Kamaruddin, CEO Hazem Abdul Rahman dan ketua pegawai kewangan Azmi Tahir.
Mahkamah Tinggi sebelum ini diberitahu bahawa KPMG mempertikaikan pelaburan USD2.3 bilion dalam Brazen Sky Ltd, selepas gagal mengesahkan kesahihan pelaburan tersebut. Akibatnya, firma audit itu enggan menandatangani penyata kewangan 1MDB bagi 2013.
“Saya percaya bahawa saya tidak mempunyai reputasi seperti itu (mengugut orang),” kata Najib, sambil menambah bahawa Johan juga tidak pernah menyatakan dirinya diugut dalam nota mesyuaratnya.
Najib berkata beliau juga menggantikan Ahmad Husni Hanadzlah dengan Johari Ghani sebagai menteri kewangan II pada 2016. Johari kini menteri perladangan dan komoditi dalam pentadbiran Anwar Ibrahim.
Kata Najib, Johari merupakan seorang tokoh korporat yang terkenal dan mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat, tidak seperti Husni yang berasal dari industri perbankan.
Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.