
Azmil Muntapha Abas, 50, pada asalnya disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dan dihukum penjara enam bulan serta denda RM25,000, kerana menerima rasuah RM5,000 yang berkaitan dengan prosiding mahkamah dikendalikannya.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Ezlin Yusop Khan memaklumkan Mahkamah Rayuan, AGC telah mempertimbangkan representasi Azmil Muntapha dan memutuskan untuk menolaknya.
Pihak pendakwaan memohon untuk mengembalikan hukuman asal enam bulan penjara dan denda RM25,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen.
Pendengaran rayuan itu dilakukan di hadapan panel tiga hakim diketuai Hashim Hamzah dan dibarisi Mohamed Zaini Mazlan serta Wan Ahmad Farid Wan Salleh, bagaimanapun ditangguhkan kerana Azmil Muntapha tidak sihat.
Peguamnya, Ishak Mohd Yusof memberitahu, Azmil Muntapha mendapatkan rawatan kerana tekanan darah tinggi yang terlalu tinggi, selepas berasa pening semasa dalam perjalanan ke mahkamah, menyebabkan peguam memohon supaya tarikh pendengaran baharu ditetapkan.
Ishak juga memberitahu anak guamnya sebelum ini telah menghantar representasi kepada AGC memohon supaya hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 dikekalkan.
Mahkamah Rayuan menetapkan 25 April ini sebagai tarikh baharu pendengaran.
Pada 19 Okt 2022, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 ke atas Azmil Muntapha, selepas mendapati beliau bersalah menerima rasuah RM5,000 atas kapasitinya sebagai hakim Mahkamah Sesyen dalam prosiding kes jenayah melibatkan enam tertuduh.
Mereka ialah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming, dan Chin Chee Keong, yang didakwa di bawah Seksyen 9 Akta Rumah Perjudian Awam 1953 (Akta 289), serta telah didenda Azmil Muntapha atas kesalahan tersebut.
Azmil Muntapha didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank, Jalan Meru, Klang pada 10 Mei 2018.
Pada 3 Jan tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengurangkan hukuman Azmil Muntapha iaitu penjara kepada sehari dan denda daripada RM25,000 kepada RM12,000.
Ishak memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini bahawa anak guamnya telah menjalani hukuman penjara sehari dan membayar denda tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ifa Sirrhu Samsudin, Maziah Mohaide, Siti Amirah Muhammad Ali, dan Elyza Amira Habeeb Rahman juga mewakili pihak pendakwaan, manakala Azmil Muntapha turut diwakili peguam Hamdan Hamzah dan Nur Faida Mohd Rashidee.