Kerajaan PN akan undang masalah, kata penganalisis

Kerajaan PN akan undang masalah, kata penganalisis

Hisomuddin Bakar menarik perhatian kepada beberapa perkara yang menunjukkan tiada kesepakatan dalam PN.

pn leader Perikatan Nasional Selangor
Hisomuddin Bakar kata PN menghadapi masalah dalaman yang akan menguji kelangsungan hubungan PAS dan Bersatu.
PETALING JAYA:
Kerajaan Perikatan Nasional mengundang masalah kepada negara kerana masalah dalaman dan tiada dasar yang jelas, kata penganalisis.

Hisomuddin Bakar, pengarah eksekutif Ilham Centre, berkata penganjuran himpunan solidariti bersama Najib Razak oleh PAS menunjukkan perkara itu tidak diputuskan secara bersama dalam mesyuarat tertinggi PN.

Turut diperkatakan sikap sebelah pihak PAS melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat SG4, kumpulan empat kerajaan negeri yang dipimpinnya.

Selain itu, PN kelihatan tiada kesepakatan apabila ia belum menetapkan calon perdana menteri untuk PRU akan datang.

“Sebenarnya PN menghadapi masalah dalaman yang akan menguji kelangsungan hubungan dua parti utama iaitu PAS dan Bersatu,” katanya kepada FMT.

Hisomuddin mengulas amaran Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim bahawa ‘amat bahaya’ sekiranya pemimpin semasa PN mentadbir semula negara.

Ia susulan tindakan PN yang menurut Hassan ‘membunuh demokrasi’ ketika wabak Covid-19, menarik perhatian kepada tindakan menggantung Parlimen.

Satu lagi kelemahan PN, menurut Hisomuddin, kegagalan gabungan itu memanfaatkan sokongan yang diraih pada PRU 2022. Ketika itu sebahagian besar undi orang Melayu beralih ke PN, termasuk undi protes oleh penyokong Umno yang hampa.

Pemuda PN, katanya, kelihatan sibuk menyerang parti lawan, khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berbanding menawarkan cadangan dasar yang lebih tuntas dan lestari.

Menurutnya, kelakuan itu berisiko kerana pengundi muda yang mencari penyelesaian, dan bukannya retorik, akan menjauhkan diri.

Katanya, PN “menerima manfaat dari pengundi Melayu dan anak muda Melayu tetapi tiada dasar yang konstruktif dan substantif yang diperjuangkan.”

Kelekaan dalam menguruskan undi yang diraih akan memberi kesan kepada PN, yang kelihatan selesa dalam anggapan bahawa pengundi akan menterjemahkan perasaan tidak puas hati kepada undi buat PN.

“Mereka terlalu selesa dengan kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Lau Zhe Wei daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia percaya pertukaran kepimpinan akan menjadi sia-sia kerana pilihan PN terhad iaitu sama ada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin atau timbalannya, Hamzah Zainudin, atau Presiden PAS Hadi Awang atau naib beliau, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Lau berkata pemimpin-pemimpin itu tidak mampu perbaiki reputasi gabungan itu.

Beliau mengambil Gerakan sebagai contoh, mengatakan parti itu tidak bangkit semula kerana pemimpin Gerakan yang muda dan bersemangat dianggap terlalu rapat dengan pemimpin-pemimpin tua dalam parti itu.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata PN memikul beban pemimpinnya yang sekarang, malah dilihat tidak dapat mengurus negeri-negeri yang ditadbirnya dengan cukup baik.

“Ini bukan tentang usia parti, tetapi bagaimana mereka urus pengundi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.