
Ketua Pengarah Sirajudin Suhaimee berkata pihaknya telah membuat laporan polis bagi siasatan dan tindakan lanjut, termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan sekatan akaun dan menurunkan kandungan.
“Semua pihak diminta bertenang dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Jakim tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan yang mempersendakan ajaran Islam dan menyinggung sensitiviti umat Islam serta menyeru semua pihak mengamalkan sifat hormat dan bertoleransi dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan negara harus dihormati setiap masa.
Pada 20 Jan, selebriti Shahrol Azizie Azmi atau dikenali sebagai Shahrol Shiro membuat laporan polis berkait hantaran media sosial dimuat naik Harith.
Dalam laporan dikongsi di Facebook, Shahrol juga membuat aduan terhadap seorang individu dikenali Cecelia Yap Song KL.
Shahrol menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan, sambil mendakwa hantaran Harith dan komen Cecelia, menghina kesucian Islam dan mempermainkan nama Nabi Muhammad.
Minggu lalu, dalam hantaran Facebook, Harith secara berseloroh menyatakan ‘iman tergugat’ apabila beliau mempertimbangkan untuk menikmati ‘Ham Sap Kopi’.
Harith membuat jenaka itu di tengah-tengah kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ didakwa tidak mempunyai perakuan halal dengan produk tersebut dijual di kedai serbaneka di Universiti Malaya.