Fitnah rogol, Mondy Tattoo diarah bayar Ebit Lew RM20,000

Fitnah rogol, Mondy Tattoo diarah bayar Ebit Lew RM20,000

Tahun lalu Ebit Lew dilaporkan tidak akan didakwa atas tuduhan rogol wanita Indonesia selepas pihak pendakwaan memutuskan tidak meneruskan kes.

Sebelum ini Mondy Tattoo membuat laporan polis berhubung gangguan seksual ke atas dirinya oleh Ebit Lew. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Wanita Indonesia Mondy Tattoo diarah membayar ganti rugi RM20,000 kepada Ebit Lew kerana memfitnah pendakwah itu merogolnya.

Perintah dikeluarkan Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas meneliti dan mendengar hujah peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Ebit atau nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim Lew selaku plaintif.

Ia dikongsi Ebit menerusi hantaran di laman sosialnya, hari ini.

“Alhamdulillah syukur pada Allah saya menang saman pada Mondy atau Dita Restu dan beliau diminta membayar RM20,000 kepada saya,” katanya menurut Berita Harian.

Ebit turut berkongsi tangkap layar writ saman dikeluarkan mahkamah.

Berdasarkan dokumen itu, Mondy diperintah membayar ganti rugi am sebanyak RM20,000 berserta faedah sebanyak 5% setahun bermula dari tarikh pemfailan writ saman sehingga tarikh penyelesaian penuh kes.

Ebit turut memaklumkan samannya terhadap Caprice yang menyiarkan audio siar berkaitan dakwaan itu akan berlangsung Mei ini.

Sebelum ini, Mondy membuat laporan polis berhubung gangguan seksual ke atas dirinya oleh pendakwah itu.

Ebit juga membuat laporan polis berkaitan dakwaan fitnah terhadapnya serta satu lagi laporan penafian kes gangguan seksual.

Pada 6 Jun tahun lalu, Ebit dilaporkan tidak akan didakwa atas tuduhan merogol Mondy selepas pihak pendakwaan memutuskan tidak meneruskan kes.

Pada 26 Sept 2023, Ebit memfailkan saman fitnah terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dan Mondy atau nama sebenar Dita Restu Amanda.

Menurut pernyataan tuntutan difailkan, Ebit selaku plaintif memberitahu mula mengenali Mondy yang memperkenalkan dirinya sebagai ibu tunggal dan gelandangan ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan di Jakarta, Indonesia, pada 7 Jun 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.