6 diberkas, polis rampas produk besi dan logam RM113 juta

6 diberkas, polis rampas produk besi dan logam RM113 juta

Warga tempatan yang ditahan berperanan sebagai pemilik dan pengurus syarikat manakala warga asing adalah pekerja.

Azmi Abu Kassim
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Azmi Abu Kassim berkata individu ditahan terdiri dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan serta tiga lelaki asing. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan enam individu dan merampas barangan bernilai RM113 juta dalam serbuan terhadap tujuh premis syarikat di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan besi dan logam dari luar negara pada 17 Jan lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Azmi Abu Kassim, berkata enam individu ditahan terdiri dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan serta tiga lelaki warga asing berumur antara 33 hingga 50 tahun.

“Operasi dijalankan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap syarikat yang membekalkan produk besi dan logam untuk sektor pembinaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai kesalahan dikesan termasuk kegagalan mengemukakan dokumen perakuan pematuhan standard (PPS) yang sah bagi produk besi dan logam yang diimport untuk kegunaan sektor pembinaan,” katanya dalam kenyataan.

Azmi berkata, dalam operasi bersepadu itu sejumlah produk logam dikategorikan sebagai produk akhir tanpa perakuan pematuhan standard (PPS) yang sah oleh CIDB untuk kegunaan sektor pembinaan di dalam negara telah ditemukan.

“Selain itu, terdapat juga produk besi dan logam yang dikategorikan sebagai produk separuh siap dipercayai diimport secara tidak sah,” katanya.

Katanya, antara barangan rampasan ialah peralatan untuk premis berkenaan beroperasi dan pelbagai jenis produk logam termasuk 8,939 tan besi dan keluli industri, lima kontena, 12 forklift, 40 tong gas silinder, dan 61 pelbagai mesin memproses besi dan keluli.

Azmi berkata, penggunaan produk logam dan besi yang tidak mematuhi standard piawaian oleh pihak berkuasa piawaian Malaysia boleh mendatangkan risiko terhadap keselamatan awam.

“Kualiti material produk besi dan logam yang digunakan dalam semua sektor industri domestik perlu diperakukan oleh CIDB atau Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) sebelum digunakan dalam industri,” katanya.

Beliau berkata, warga tempatan yang ditahan didapati berperanan sebagai pemilik dan pengurus syarikat manakala warga asing berperanan sebagai pekerja.

“Wanita warga tempatan yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis manakala dua lelaki warga tempatan direman sehari dan dibebaskan selepas disoal siasat. Tiga lelaki warga asing direman hingga 4 Feb ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 33D Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.