STR fasa 1 disalur mulai esok

STR fasa 1 disalur mulai esok

Bantuan tunai itu akan disalur secara berperingkat kepada 9 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion.

public lineup
Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 akan dibuat melalui pengkreditan ke dalam akaun bank penerima atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional.
PETALING JAYA:
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan disalurkan secara berperingkat mulai esok kepada 9 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion, berbanding RM2.1 bilion pada tahun lalu.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan, berkata sumbangan tunai itu akan dimanfaatkan 60% penduduk dewasa, dengan pendapatan isi rumah sekitar RM4,600.

Perdana menteri yang juga menteri kewangan Anwar Ibrahim berkata peningkatan peruntukan bagi STR Fasa 1 jauh melangkaui kadar inflasi negara ini, mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat kian bertambah baik meskipun berlaku peningkatan kos sara hidup.

“Kendatipun peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang melanda seluruh dunia, besarlah harapan kerajaan agar peningkatan sumbangan SARA dan STR saban tahun ini dapat membantu rakyat menggapai kehidupan yang lebih berdarjat,” katanya.

Pembayaran STR akan dibuat melalui pengkreditan ke dalam akaun bank penerima atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Minggu lalu, kerajaan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 700,000 penerima kategori miskin dan miskin tegar.

Bantuan SARA RM100 sebulan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi Januari hingga Mac manakala mulai April ini, kadar bantuan akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.