SPRM puas hati pengisytiharan aset Mokhzani, Mirzan

SPRM puas hati pengisytiharan aset Mokhzani, Mirzan

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Mokhzani Mahathir mengisytiharkan aset kira-kira RM1 bilion manakala Mirzan isytihar RM246.2 juta.

Mokhzani Mahathir Mirzan Mahathir
Januari tahun lalu Mokhzani dan Mirzan diarah SPRM untuk mengisytiharkan aset mereka dari 1981, tahun di mana bapa mereka Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
PUTRAJAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berkata agensi itu berpuas hati dengan pengisytiharan aset yang dibuat dua anak lelaki bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Azam berkata, Mokhzani mengisytiharkan jumlah aset bernilai kira-kira RM1 bilion, dengan nilai peribadi sebanyak RM316 juta.

“Ini yang pegawai forensik saya buat analisisis dan penilaian,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM.

Beliau turut memaklumkan Mirzan pula mengisytiharkan jumlah aset sebanyak RM246.2 juta, dengan nilai peribadi RM120 juta.

“Saya berpuas hati dengan pengisytiharan aset yang diberikan. Akan datang kami akan maklumkan perkembangan selanjutnya,” katanya.

September lalu, Azam berkata dua beradik itu sudah melakukan pengisytiharan harta mengikut tempoh ditetapkan badan itu.

Bagaimanapun, katanya, pihak penyiasatan sedang buat penyelarasan dengan peguam mereka berhubung beberapa perkara.

Mirzan dan Mokhzani diarahkan SPRM pada Januari tahun lalu untuk mengisytiharkan aset mereka sejak 1981, tahun di mana Mahathir menjadi perdana menteri.

Dua beradik itu telah menerima dua tempoh lanjutan berbanding tarikh akhir asal pada Februari tahun lalu.

Siasatan aset Daim masih berjalan

Dalam perkembangan lain, Azam memaklumkan siasatan SPRM terhadap kewangan dan aset milik Allahyarham Daim Zainuddin serta ahli keluarganya masih berjalan.

“Kami masih menjalankan siasatan terhadap harta beliau yang diisytiharkan kepada SPRM. Kami perlu mengesahkan beberapa aduan yang diterima,” katanya.

Beliau berkata, ada data dan maklumat mengenai aset keluarga Daim di luar negara diperoleh hasil kerjasama antarabangsa, menunjukkan wujudnya aset luar yang perlu dikesan.

“Sekiranya ada, kami akan membuat permohonan (untuk mengesan). Proses bukan mudah kerana melibatkan bidang kuasa dan rangka perundangan yang berbeza.

“Ini cabaran bila melibatkan keterangan di luar negara, termasuk proksi yang mungkin mereka gunakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.