Kastam rampas arak, minuman bertenaga lebih RM1.6 juta

Kastam rampas arak, minuman bertenaga lebih RM1.6 juta

Nilai anggaran minuman keras itu RM468,398 dengan jumlah duti serta cukai membabitkan kira-kira RM958,450.

Norlela Ismail
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail (tengah) menunjukkan barangan dirampas pada sidang media. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia menggagalkan aktiviti pembekalan minuman keras dan produk minuman bertenaga dari luar negara dianggarkan bernilai lebih RM1.67 juta, dalam tiga serbuan sekitar Selangor pada 9 Jan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail, berkata dalam serbuan terhadap dua gudang di kawasan perindustrian Balakong dan Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan di Selangor pada 11.30 pagi dan 1.30 tengah hari itu, pihaknya menemukan 10,292 liter minuman keras pelbagai jenama.

Beliau berkata, nilai anggaran minuman keras tersebut RM468,398 dengan jumlah duti serta cukai membabitkan kira-kira RM958,450.

“Turut ditahan empat lelaki warga asing berusia 30 hingga 45 tahun yang berperanan sebagai pekerja di sebuah gudang di Seri Kembangan dan masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong.

“Kita percaya kedua-dua gudang ini mempunyai kaitan, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Zon Tengah 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya.

Norlela berkata, gudang tersebut dipercayai disewa orang ketiga dengan harga RM6,500 sebulan sejak Disember tahun lalu, bagi menyimpan bekalan minuman keras sebelum diedar ke pasaran tempatan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada penglibatan warga tempatan.

Katanya, pengimportan minuman keras memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh ketua pengarah kastam bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019 dan kes disiasat bawah Akta Kastam 1967.

Dalam serbuan pada hari sama, Norlela berkata pihaknya juga telah menggagalkan cubaan membawa masuk produk minuman tenaga bergula dari India, selepas menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, pada 11.45 pagi.

Beliau berkata, sebanyak 24,600 produk minuman tenaga bergula dan anggaran nilai sebanyak RM172,200 dengan cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM79,458 ditemukan dalam kontena tersebut.

“Siasatan awal mendapati dagangan telah diikrarkan dengan tidak benar. Borang Kastam 1 telah diikrarkan dengan menggunakan kod tarif minuman tidak bergula bagi mengelak cukai dan duti terlibat,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.