
Dalam kenyataan, Presiden Umany, Lim Jing Jet, berkata belum jelas sama ada kejadian itu berkaitan kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ baru-baru ini, dan mengutuk tindakan tersebut sebagai keterlaluan.
“Walaupun masih tidak jelas sama ada perbuatan vandalisme ini berkait dengan kontroversi itu, sekiranya ada pihak ingin memprotes KK Mart, tindakan ekstrem sebegini bukanlah cara wajar untuk menyuarakan pendapat.
“Vandalisme mungkin kelihatan seperti kesalahan kecil, namun ia masih boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan merosakkan harta,” katanya.
Lim berkata, insiden itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan di kampus dan menggesa pihak universiti mengambil langkah untuk meningkatkan keselamatan, termasuk memasang lebih banyak kamera pemantauan serta meningkatkan rondaan keselamatan.
Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Ku Mashariman Ku Mahmood, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, kejadian berlaku pada 12.50 tengah malam tadi apabila pengadu yang juga polis bantuan UM dimaklumkan pekerja kedai tersebut terdapat kesan cat berwarna merah di hadapan pintu premis.
“Kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Premis itu sebelum ini terpalit kontroversi berhubung penjualan sandwic ‘ham & cheese’ yang didakwa menggunakan logo halal secara tidak sah.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan kepingan ayam yang digunakan dalam sandwic tersebut mempunyai sijil halal, namun sandwic itu sendiri serta syarikat yang mengeluarkannya tidak memiliki sijil halal.
KK Mart juga menggantung semua urusan perniagaan dengan pembekal sandwic berkenaan serta menghentikan bekalan produk daripada Shake and Bake Cafe ke semua cawangannya.