4 dipanggil atas sidang media berkait profesor didakwa kongsi gambar bogel

4 dipanggil atas sidang media berkait profesor didakwa kongsi gambar bogel

Kelab Feminisme UM berkata polis memaklumkan empat individu terbabit melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

S Indramalar, Wong Xiao You, Aznijar Yazid dan Chin Jes Weng dipanggil untuk disoal siasat.
PETALING JAYA:
Polis memanggil empat individu yang bercakap dalam sidang media baru-baru ini berhubung seorang profesor didakwa berkongsi gambar bogel dirinya dengan pelajar, kata sebuah kelab Universiti Malaya (UM).

Kelab Feminisme UM (UMFC) dalam kenyataan berkata, polis memaklumkan empat individu terbabit melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan mereka dipanggil untuk disoal siasat.

Seorang daripadanya memberi keterangan minggu lalu, manakala tiga lagi, termasuk Presiden UMFC, Chin Jes Weng, dijadualkan disoal siasat pagi Sabtu ini.

Tiga individu lain ialah jurucakap lulusan sarjana pengajian jantina UM, S Indramalar, Wong Xiao You dari Universiti Tunku Abdul Rahman dan exco Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM), Aznijar Yazid.

UMFC berkata, ia “mengelirukan” kerana pihak berkuasa “sangat berwaspada” terhadap insiden itu sejak permulaan lagi, termasuk “sejumlah besar anggota polis bersenjata” dikerahkan ke sidang media itu.

Ia turut mengkritik penggunaan Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk “menyasarkan mereka yang bersolidariti dengan mangsa gangguan seksual”.

“Sejak bila polis diberi kuasa untuk campur tangan secara langsung dalam urusan kampus?”

UMFC berkata, menindas individu yang membangkitkan isu ini tidak akan menyelesaikan masalah.

Katanya, tindakan sedemikian mungkin menghalang mangsa membuat laporan polis terhadap profesor terbabit.

“Jika organisasi atau individu yang menyokong mangsa gangguan seksual boleh dipanggil hari ini, bagaimana mangsa boleh percaya polis tidak akan menyalahgunakan kuasa terhadap mereka?”

Pada 23 Dis lalu, UM dilaporkan berkata, ia sudah menggantung profesor terbabit selaras Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.